Skip to main content

JASA DAN PRESTASI, 478 WARGA USM DIRAI SEMPENA MAJLIS PENGHARGAAN UNIVERSITI 2026

NIBONG TEBAL, 30 Jun 2026 - Seramai 478 warga Universiti Sains Malaysia (USM) diraikan dalam Majlis Penghargaan Universiti 2026 yang menghimpunkan penerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) 2025 dan Anugerah Sanjungan Budi (ASB) 2026 sebagai pengiktirafan terhadap prestasi serta sumbangan mereka kepada universiti.

Majlis yang berlangsung di Kampus Kejuruteraan Tuanku Syed Sirajuddin (KKTSS) itu telah disempurnakan oleh Naib Canselor, Profesor Dato' Seri Ir. Dr. Abdul Rahman Mohamed.

Beliau berkata, seramai 397 staf daripada pelbagai Pusat Tanggungjawab di Kampus Induk dan KKTSS telah dipilih sebagai penerima APC 2025, melibatkan 119 staf akademik, 54 staf pengurusan dan profesional serta 224 staf pelaksana.

 

Selain itu, seramai 81 staf menerima ASB 2026 yang terdiri daripada 22 staf akademik, 12 staf pengurusan dan profesional serta 47 staf pelaksana, sekali gus menjadikan keseluruhan 478 warga universiti diraikan menerusi kedua-dua anugerah tersebut.

Beliau turut menyatakan bahawa bagi penerima ASB, pengalaman dan komitmen sepanjang 25 tahun perkhidmatan menjadi antara kekuatan utama yang menyumbang kepada pencapaian USM di peringkat nasional dan antarabangsa.

“Anugerah ini merupakan sebahagian daripada komitmen Universiti Sains Malaysia dalam menjaga kebajikan serta menghargai sumbangan warganya,” ujar beliau.

 

 

Menurutnya, pendekatan tersebut selari dengan aspirasi APEX yang menekankan kesejahteraan warga universiti sebagai asas penting dalam membina institusi cemerlang dan mampan.

“Universiti akan terus memastikan penghargaan yang diberikan setimpal dengan jasa dan sumbangan warga, termasuk melalui peningkatan kadar insentif bagi penerima ASB kepada RM500, berbanding RM300 sebelum ini,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata pengiktirafan terhadap warga universiti amat penting ketika USM terus mencatat pencapaian di peringkat global.

 

 

“USM kini berada pada kedudukan ke-128 dunia dalam QS World University Rankings 2027 dan merupakan universiti kedua terbaik di Malaysia. Selain itu, USM turut menduduki tempat kelima dunia serta tangga pertama di Asia dan Malaysia dalam Times Higher Education (THE) Sustainability Impact Rankings 2026, selain muncul sebagai nombor satu dunia bagi Sustainable Development Goal (SDG) 17: Partnerships for the Goals,” katanya.

Beliau menegaskan bahawa pencapaian tersebut adalah hasil komitmen seluruh warga universiti, dan berharap semangat iltizam, integriti serta budaya kerja cemerlang terus diperkukuh bagi memastikan USM kekal berdaya saing di peringkat global.

Teks: Siti Faizah Abd Halim/Foto: Muhammad Taufik Abdul Rahman