176 PELAJAR USM TERIMA SIJIL MICRON SAT-PRO, PERKUKUH BAKAT SEMIKONDUKTOR NEGARA

NIBONG TEBAL, 3 Julai 2026 - Seramai 176 pelajar Universiti Sains Malaysia (USM) diraikan dalam Micron Modules Completion Certificate Ceremony 2026 selepas berjaya menamatkan modul Semiconductor Advanced Technology Programme (SAT-Pro) yang dilaksanakan hasil kerjasama strategik antara USM dan Micron Memory Malaysia.
Naib Presiden Micron Memory Malaysia, Ramu Iyer, berkata industri semikonduktor kini menjadi pemacu utama kepada perkembangan teknologi seperti kecerdasan buatan (AI), kenderaan elektrik (EV), pusat data dan ekonomi digital, sekali gus meningkatkan permintaan terhadap tenaga kerja berkemahiran tinggi.
Beliau berkata, Malaysia berada pada kedudukan yang strategik untuk melonjak ke rantaian nilai yang lebih tinggi melalui bidang seperti pembungkusan semikonduktor termaju, reka bentuk litar bersepadu (IC) dan pembuatan pintar, selaras dengan aspirasi Strategi Semikonduktor Nasional yang menyasarkan 60,000 tenaga kerja mahir menjelang tahun 2030.
Beliau menjelaskan bahawa program SAT-Pro dibangunkan bagi merapatkan jurang antara pembelajaran akademik dan aplikasi sebenar dalam industri melalui pendedahan kepada pengetahuan teknikal yang relevan.

Dalam pada itu, beliau menegaskan komitmen Micron Memory Malaysia untuk terus memperkukuh kerjasama strategik bersama USM dalam membangunkan bakat semikonduktor tempatan dan memperluaskan saluran pembangunan modal insan bagi memenuhi keperluan industri berteknologi tinggi negara.
Sementara itu, Dekan Pusat Pengajian Kejuruteraan Mekanik, Profesor Madya Dr. Abdullah Aziz Saad yang mewakili Pengarah Kampus Kejuruteraan Tuanku Syed Sirajuddin USM berkata, majlis kali ini melibatkan pelajar yang telah melengkapkan modul SAT-Pro yang diterapkan dalam kursus elektif EBB324 Electronic Packaging dan EEE380 Semiconductor Device Packaging.
Beliau berkata, penerima sijil terdiri daripada 66 pelajar Pusat Pengajian Kejuruteraan Mekanik, 55 pelajar Pusat Pengajian Kejuruteraan Bahan dan Sumber Mineral serta 55 pelajar Pusat Pengajian Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik.

"Penglibatan pelajar kejuruteraan mencerminkan multidisiplin pendidikan masa kini, selain membuktikan komitmen berterusan institusi dan industri dalam melahirkan bakat berkemahiran tinggi bagi menyokong pertumbuhan industri semikonduktor negara," katanya.
Menurut beliau, inisiatif seperti SAT-Pro membuktikan bahawa kerjasama erat antara universiti dan industri mampu memperkayakan pengalaman pembelajaran pelajar melalui integrasi perspektif industri dalam kurikulum akademik.
"Selain meningkatkan kompetensi teknikal, program ini turut memupuk kemahiran berfikir secara kritis, penyelesaian masalah, kerja berpasukan serta kebolehsuaian, iaitu antara ciri yang amat diperlukan oleh majikan pada masa kini," tambah beliau.
Teks: Siti Faizah Abd Halim/Foto: Muhammad Taufik Abdul Rahman