SAMBUTAN 25 TAHUN KAMPUS KEJURUTERAAN TUANKU SYED SIRAJUDDIN PERKUKUH PERANAN USM DALAM EKOSISTEM KEJURUTERAAN DAN SEMIKONDUKTOR NEGARA

NIBONG TEBAL, 22 Julai 2026 - Universiti Sains Malaysia (USM) hari ini telah menganjurkan Sambutan 25 Tahun Kampus Kejuruteraan Tuanku Syed Sirajuddin (KKTSS).
Sambutan ini menandakan pencapaian signifikan kampus yang telah berkembang sebagai antara penyumbang utama pembangunan bakat kejuruteraan dan teknologi negara, khususnya dalam sektor elektrik dan elektronik (E&E) serta semikonduktor.
Kampus yang bermula sebagai Kampus Cawangan Perak (KCP) di Seri Iskandar, Perak, berpindah ke Pulau Pinang pada tahun 2001 dan dikenali sebagai Kampus Kejuruteraan sebelum dimashurkan oleh Canselor USM, D.Y.M.M. Tuanku Syed Sirajuddin Ibni Al-Marhum Tuanku Syed Putra Jamalullail sebagai KKTSS pada 22 Januari 2026.

Pengerusi Lembaga Gabenor USM, Profesor Emeritus Dato’ Dr. Hassan Said dalam ucapan perasmiannya berkata, kampus KKTSS terus memperkukuh peranannya sebagai hab pendidikan, penyelidikan dan pembangunan bakat dalam bidang kejuruteraan serta teknologi strategik negara.
Menurut beliau, Pusat Pengajian Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik di Sains@USM, Bukit Jambul, dijangka membolehkan pengambilan tambahan kira-kira 200 pelajar mulai sesi akademik 2026/2027 bagi memenuhi keperluan industri berteknologi tinggi, khususnya sektor semikonduktor.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) atas kelulusan peruntukan RM55 juta di bawah Rancangan Malaysia Ke-13, Rolling Plan 1 (RMK13-RP1) bagi pembangunan infrastruktur program pesisir Pusat Pengajian Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik di Sains@USM, Bukit Jambul.
Katanya, pembangunan bakat perlu digerakkan secara bersama oleh universiti, industri dan kerajaan memandangkan sektor semikonduktor dan E&E memerlukan tenaga kerja berkemahiran tinggi yang mampu mendepani perkembangan kecerdasan buatan (AI), automasi, Internet Kebendaan (IoT), pusat data dan kenderaan elektrik (EV).

Sementara itu, Naib Canselor USM, Profesor Dato' Seri Ir. Dr. Abdul Rahman Mohamed menzahirkan penghargaan kepada warga universiti, rakan industri dan alumni yang menyumbang kepada pembangunan kampus sepanjang 25 tahun di Pulau Pinang.
Beliau berkata, kejayaan kampus bukan sahaja berasaskan kecemerlangan akademik, malah keupayaannya menghubungkan pengajaran, penyelidikan, inovasi serta jaringan industri dan komuniti.
“Kerjasama industri meliputi pembangunan kursus elektif, penyelidikan bersama, penambahbaikan makmal dan sumbangan peralatan bagi memastikan kurikulum kekal relevan serta meningkatkan kebolehpasaran graduan,” ujar beliau.
Katanya, sambutan tersebut bukan sekadar meraikan sejarah dan pencapaian kampus, malah menjadi platform memperkukuh kerjasama universiti, industri dan kerajaan dalam mendepani cabaran teknologi masa hadapan.

Keupayaan USM dalam penyelidikan, inovasi dan jaringan antarabangsa turut diiktiraf apabila universiti meningkat enam anak tangga ke kedudukan ke-128 dunia dalam QS World University Rankings (QS WUR) 2027, sekali gus menjadi universiti kedua terbaik di Malaysia.
Dalam bidang E&E dan semikonduktor, USM dilantik sebagai ketua penyelaras Konsortium E&E bagi program Inkubator Penyelidikan dan Serap Industri (MRI3) KPT yang melibatkan 20 universiti awam.
Tambah beliau, keupayaan penyelidikan turut diperkukuh melalui Pusat Usahasama Kecemerlangan Rekabentuk Mikroelektronik (CEDEC), USM dalam bidang reka bentuk litar bersepadu (IC Design) menerusi kerjasama dengan pemain industri semikonduktor global.
Melangkah ke hadapan, KKTSS berpotensi menyokong pembangunan kawasan perindustrian berteknologi tinggi di Kerian, Perak Utara, khususnya melalui kepakaran kejuruteraan, penyelidikan dan pembangunan bakat bagi memperkukuh ekosistem E&E serta menarik pelaburan baharu.
Teks: Siti Faizah Abd Halim/Foto: Muhammad Taufik Abdul Rahman