Skip to main content

PROGRAM THE AFIYAH WOMEN PERKASA KESEDARAN KESIHATAN WANITA SECARA HOLISTIK

NIBONG TEBAL, PULAU PINANG, 29 Julai 2026 - Seramai 120 peserta yang terdiri daripada warga Kampus Kejuruteraan Tuanku Syed Sirajuddin (KKTSS) Universiti Sains Malaysia (USM), kakitangan syarikat pembersihan kampus, wakil agensi kerajaan serta komuniti setempat menyertai program The Afiyah Women: Wanita Anggun, Sihat Sepanjang Usia yang berlangsung di Pusat Islam.

Program anjuran Pusat Islam melalui Jawatankuasa Hal Ehwal Wanita (HELWA) dan Unit Kesihatan KKTSS dengan kerjasama Unit Imejan Pusat Kanser Tun Abdul Razak Ahmad Badawi (PKTAAB) USM serta ROSE Foundation itu bertujuan meningkatkan kesedaran kesihatan wanita melalui pendidikan kesihatan, pengesanan awal kanser serta pemerkasaan kesejahteraan fizikal, mental, emosi serta rohani.

Majlis telah dirasmikan oleh Timbalan Pengerusi Pusat Islam KKTSS, Ustaz Nukman Ahmad Zakir yang mewakili Pengarah Kampus yang menegaskan bahawa kesejahteraan wanita merupakan tanggungjawab bersama yang perlu diperkasakan secara kolektif oleh keluarga, institusi dan masyarakat.

Beliau turut menyatakan bahawa Pusat Islam KKTSS komited untuk terus menjalinkan kolaborasi strategik dengan pelbagai agensi dan organisasi dalam memperluaskan program pembangunan komuniti yang memberi manfaat kepada masyarakat, khususnya dalam aspek kesihatan dan kesejahteraan.

Pakar Obstetrik dan Ginekologi, Dr. Hazliawati Ab. Aziz yang merupakan salah seorang dari panel forum bertajuk "Wanita Afiyah: Menopause, Emosi dan Kesihatan Wanita" menyeru wanita agar lebih peka terhadap perubahan fizikal yang dialami, mengenal pasti tanda-tanda awal penyakit termasuk gejala kanser, seterusnya mendapatkan nasihat serta rawatan profesional tanpa berlengah.

Beliau turut menekankan kepentingan pendidikan kesihatan dalam meningkatkan kesedaran masyarakat memandangkan masih terdapat wanita yang hanya mendapatkan rawatan selepas kanser berada pada tahap lanjut.

"Sayangi diri kita sebagai wanita dan lakukan saringan kesihatan secara berkala kerana pengesanan awal mampu menyelamatkan nyawa," katanya.

Sebagai sebahagian daripada inisiatif kesejahteraan komuniti, sebanyak 50 pek makanan kering turut diagihkan kepada peserta daripada kategori B40 yang menjalani saringan kesihatan sepanjang program berlangsung.

Program turut menyediakan saringan kanser payudara secara percuma yang merangkumi pemeriksaan klinikal dan imejan ultrabunyi mudah alih oleh PKTAAB USM, selain saringan kanser serviks menggunakan ujian HPV DNA bagi peserta yang layak menerusi kerjasama ROSE Foundation.

Penganjuran program ini turut menyokong Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) iaitu SDG 3: Kesihatan Baik dan Kesejahteraan, SDG 4: Pendidikan Berkualiti, SDG 5: Kesaksamaan Gender dan SDG 17: Perkongsian untuk Mencapai Matlamat melalui kerjasama erat antara USM, agensi kesihatan dan pertubuhan bukan kerajaan dalam memperkukuh kesejahteraan komuniti.

Program diakhiri dengan pengisian khas oleh penceramah terkenal, Ustazah Isfadiah Mohd. Dasuki yang mengupas konsep Afiyah sebagai kesejahteraan menyeluruh melalui keseimbangan antara keperluan rohani, akal dan jasmani.

Teks dan Foto: Ihsan HELWA KKTSS