USM JADI TUAN RUMAH PERTANDINGAN ROBOTIK KEBANGSAAN 2026 PERINGKAT PULAU PINANG

NIBONG TEBAL, 30 Julai 2026 - Universiti Sains Malaysia (USM) sekali lagi membuktikan peranannya sebagai hab pembangunan bakat Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) apabila menjadi tuan rumah Pertandingan Robotik Kebangsaan (National Robotics Competition - NRC) 2026 Peringkat Negeri Pulau Pinang.
Sebanyak 277 pasukan, merangkumi 65 sekolah rendah dan 46 sekolah menengah dari seluruh Pulau Pinang menyertai pertandingan berprestij yang berlangsung pada 29 dan 30 Julai 2026 itu bagi menguji kreativiti, kemahiran teknikal dan inovasi dalam bidang robotik, sekali gus merebut peluang bertanding di peringkat kebangsaan.
Bertemakan "Robots Meet Culture", NRC 2026 mengetengahkan penerokaan bagaimana teknologi robotik boleh dimanfaatkan untuk memelihara, mengembangkan dan mempromosikan seni serta warisan budaya.

Pertandingan ini turut menjadi platform kepada murid mengaplikasikan pengetahuan dalam bidang STEM melalui pembinaan, pengaturcaraan dan penyelesaian masalah menggunakan robot.
Sebanyak 13 kategori pertandingan dipertandingkan meliputi Robomission Junior, Robomission Rookie, Robomission Pro, Future Innovators, Robosports serta Reka Cipta dan Inovasi STEM. Antara cabaran yang dipertandingkan termasuk Junior Rockstars, Robot Rockstars, Heritage Heroes, Mosaic Masters, Double Tennis dan JOM TARIK! Challenge.
Penganjuran kali ini merupakan hasil kerjasama Kementerian Pendidikan Malaysia, Jabatan Pendidikan Negeri Pulau Pinang, Sasbadi Holdings Berhad dan Universiti Sains Malaysia (USM), dengan penyelarasan di peringkat universiti diterajui oleh Ts. Dr. Noramalina Abdullah dari Pusat Pengajian Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik.


Menurut beliau, penganjuran NRC 2026 di Kampus Kejuruteraan Tuanku Syed Sirajuddin (KKTSS) USM mencerminkan komitmen universiti dalam menyokong agenda negara memperkukuh pendidikan STEM melalui kerjasama erat antara institusi pengajian tinggi, sekolah, agensi pendidikan dan industri.
"Inisiatif ini selaras dengan usaha melahirkan generasi muda yang berdaya cipta, inovatif dan bersedia menghadapi cabaran teknologi masa hadapan. Kami juga amat menghargai sokongan Jambatan Kedua Sdn. Bhd. (JKSB) yang menaja penggunaan Dewan Utama serta pelaksanaan aktiviti ROBOCAN,” ujar Dr. Amalina.
Sumbangan ini telah membantu menyediakan persekitaran pertandingan yang kondusif kepada peserta, guru pembimbing, panel hakim dan pihak penganjur, sekali gus menyumbang kepada kejayaan penganjuran NRC 2026," katanya.
Majlis Perasmian Penutupan pertandingan telah disempurnakan oleh Pengerusi Jambatan Kedua Sdn. Bhd. (JKSB), Datuk Haji Abdul Malik Abul Kassim.
Senarai juara yang akan mewakili Pulau Pinang ke Pertandingan Robotik Kebangsaan (NRC) 2026 di peringkat kebangsaan bagi setiap kategori adalah seperti berikut:
• Robomission Pro (Sekolah Rendah): Sekolah Kebangsaan Pauh Jaya
• Robomission Pro (Sekolah Menengah Rendah dan Atas): Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan Chung Ling (CF)
• Future Innovators (Sekolah Rendah) dan Reka Cipta dan Inovasi STEM: Sekolah Jenis Kebangsaan Cina Peng Bin
• Future Innovators (Sekolah Menengah Rendah): Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan Chung Ling Butterworth
• Future Innovators (Sekolah Menengah Atas): Sekolah Menengah Kebangsaan Bukit Mertajam
• Robosports: Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan Jit Sin (CF)
• Robomission Rookie (Sekolah Kebangsaan): Sekolah Kebangsaan Convent Green Lane
• Robomission Rookie (Sekolah Jenis Kebangsaan): Sekolah Jenis Kebangsaan Cina Phor Tay
• Robomission Rookie (Sekolah Menengah Rendah): Sekolah Menengah Kebangsaan Jit Sin II
• Robomission Rookie (Sekolah Menengah Atas): Sekolah Menengah Kebangsaan Prai
• Robomission Junior: Sekolah Jenis Kebangsaan Cina Perempuan China
Teks dan Foto: Ihsan Sekretariat NRC 2026