Skip to main content

USM DAN NYCU TEROKA KERJASAMA PROGRAM IJAZAH BERKEMBAR BIDANG KEJURUTERAAN

NIBONG TEBAL, 7 Ogos 2026 - Kampus Kejuruteraan Tuanku Syed Sirajuddin (KKTSS), Universiti Sains Malaysia (USM) hari ini menerima kunjungan hormat daripada National Yang Ming Chiao Tung University (NYCU), Taiwan bagi membincangkan cadangan pelaksanaan Program Ijazah Berkembar (Dual Degree Programme) dalam bidang kejuruteraan.

Delegasi NYCU yang diketuai oleh Profesor Madya Dr. Wei Sea Chang telah disambut oleh Pengarah Kampus Kejuruteraan Tuanku Syed Sirajuddin, Profesor Ir. Dr. Mariatti Jaafar @ Mustapha.

Pertemuan ini merupakan kesinambungan kepada Memorandum Persefahaman (MoU) yang telah dimeterai antara USM melalui Pusat Usahasama Kecemerlangan Rekabentuk Mikroelektronik (CEDEC) dengan NYCU.

Perbincangan memberi tumpuan kepada usaha memperkukuh kerjasama sedia ada melalui Memorandum Perjanjian (MoA) bagi membolehkan program ijazah berkembar di peringkat Sarjana dan Doktor Falsafah (PhD) dilaksanakan antara kedua-dua institusi.

Antara program yang dikenal pasti berpotensi untuk kerjasama tersebut ialah Sarjana Kejuruteraan Sistem Elektronik, Sarjana Kejuruteraan Mikroelektronik, Sarjana Kejuruteraan Bahan serta Sarjana Kejuruteraan Pembuatan Termaju dengan Pengurusan.

 

Turut dibincangkan ialah program baharu Sarjana Semikonduktor dengan Kecerdasan Buatan (AI) yang dijangka ditawarkan oleh USM pada tahun hadapan.

Menurut Profesor Ir. Dr. Mariatti, kerjasama strategik seperti ini bukan sahaja memperkukuh jaringan akademik antarabangsa USM, malah membuka lebih banyak peluang kepada pelajar dan penyelidik untuk memperoleh pengalaman pembelajaran serta penyelidikan di peringkat global.

Beliau berkata, bidang semikonduktor dan teknologi termaju kini menjadi antara fokus utama pembangunan negara.

Justeru, kerjasama dengan institusi terkemuka seperti NYCU mampu menyokong usaha melahirkan modal insan berkemahiran tinggi yang memenuhi keperluan industri serta memperkukuh ekosistem penyelidikan dan inovasi negara.

Sementara itu, Dr. Wei Sea Chang berkongsi pengalaman NYCU melaksanakan program ijazah berkembar bersama beberapa universiti di Malaysia, termasuk model pengajian yang menggabungkan pembelajaran dan penyelidikan di kedua-dua institusi melalui penyeliaan bersama.

Beliau turut memaklumkan bahawa NYCU menyediakan pelbagai bentuk sokongan kepada pelajar antarabangsa, termasuk bantuan kewangan sepanjang tempoh penyelidikan di Taiwan, selain peluang untuk mengikuti penyelidikan dalam ekosistem semikonduktor bertaraf dunia.

Bagi merealisasikan kerjasama ini, kedua-dua pihak turut membincangkan beberapa aspek pelaksanaan termasuk penyelarasan kurikulum dan pemindahan kredit, pemilihan calon pelajar serta proses kelulusan di peringkat universiti dan Kementerian Pendidikan Tinggi sebelum program dapat dilaksanakan.

Turut hadir dalam sesi perbincangan ialah Pengarah CEDEC, Profesor Dr. Asrulnizam Abd Manaf dan Dekan Pusat Pengajian Kejuruteraan Mekanik, Profesor Madya Dr. Abdullah Aziz Saad.

Teks: Siti Faizah Abd Halim/Foto: Muhammad Taufik Abdul Rahman