Skip to main content

USM, MYREKA PERKUKUH KERJASAMA UNIVERSITI-INDUSTRI MELALUI MOU, SUMBANGAN ROBOT KOLABORATIF

NIBONG TEBAL, 12 Ogos 2026 - Universiti Sains Malaysia (USM) melalui Pusat Pengajian Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik (PPKEE) hari ini memperkukuh kerjasama strategik bersama MYREKA Technologies Sdn. Bhd. melalui pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU).

Dekan PPKEE, Profesor Ir. Ts. Dr. Shahrel Azmin Bin Sundi @ Suandi, berkata kerjasama antara universiti dan industri amat penting bagi memastikan pendidikan kejuruteraan, khususnya aktiviti penyelidikan dan pembangunan bakat, sentiasa selari dengan keperluan serta perkembangan teknologi semasa.

Menurut beliau, kerjasama tersebut turut menyokong pelaksanaan kurikulum baharu PPKEE menerusi Industry Infused Program (IIP) yang memberi pendedahan lebih luas kepada pelajar terhadap persekitaran industri sebenar.

 

“Di bawah IIP, pelajar tahun akhir berpeluang berada sepenuhnya bersama industri pada semester akhir dengan hanya Projek Tahun Akhir (FYP) sebagai kursus yang perlu dilengkapkan. Ini membuka ruang kepada industri untuk membimbing dan membentuk pelajar sebelum mereka melangkah ke alam kerjaya sebagai jurutera,” katanya.

Melalui kerjasama tersebut, MYREKA Technologies turut menyumbangkan OMRON TM20 Collaborative Robot (Cobot) kepada PPKEE bagi menyokong aktiviti pembelajaran, penyelidikan dan pembangunan kemahiran pelajar.

Shahrel berkata, sumbangan berkenaan akan memberi peluang kepada pelajar memperoleh pengalaman langsung dalam bidang robotik kolaboratif, automasi industri, penglihatan mesin dan teknologi pembuatan, selain boleh dimanfaatkan dalam pengajaran makmal, Projek Tahun Akhir dan Projek Capstone.

“Peralatan ini juga membuka peluang kepada pelajar daripada pelbagai latar belakang seperti elektrik, elektronik dan mekatronik untuk bekerjasama dalam menghasilkan penyelesaian yang menggabungkan pelbagai disiplin kejuruteraan,” katanya.

 

Sementara itu, Pengarah MYREKA Technologies Sdn. Bhd., Lee Eu Beng, berkata kerjasama dengan USM mencerminkan keyakinan pihaknya terhadap peranan universiti dalam melahirkan bakat serta mencetuskan idea baharu yang kemudiannya dapat diterjemahkan oleh industri kepada aplikasi sebenar.

Beliau berkata, MYREKA yang ditubuhkan berasaskan keyakinan bahawa Malaysia bukan sahaja mampu menggunakan teknologi, malah berupaya mencipta dan membangunkan teknologi sendiri, kini mempunyai lebih 70 jurutera yang terlibat dalam reka bentuk sistem elektronik serta pembangunan dan pengujian perisian untuk syarikat antarabangsa.

Menurutnya, sumbangan Cobot tersebut bukan sekadar menyediakan sebuah mesin kepada universiti, sebaliknya menjadi platform pembelajaran, penyelidikan dan inovasi yang berpotensi mencetuskan idea serta bakat baharu dalam bidang teknologi.

“Pelaburan terbaik adalah terhadap bakat manusia. Jika suatu hari nanti sumbangan ini menjadi titik permulaan kepada lahirnya seorang teknopreneur yang membawa nama Malaysia ke persada dunia, maka sumbangan ini telah mencapai matlamat tertinggi yang kami impikan,” katanya.

Teks: Siti Faizah Abd Halim/Foto: Muhammad Taufik Abdul Rahman