Skip to main content

WAU ROCKETRY CATAT PENERBANGAN NOMINAL DAN BERADA DI KEDUDUKAN 50 TERATAS DI IREC 2026

MIDLAND, TEXAS, 20 Julai 2026 - WAU Rocketry Team berjaya mengharumkan nama Universiti Sains Malaysia (USM) di peringkat antarabangsa apabila menduduki tempat ke-44 daripada 80 pasukan yang menyertai 2026 Intercollegiate Rocket Engineering Competition (IREC) yang berlangsung di Midland, Texas.

Kemuncak misi pasukan ialah kejayaan mencapai profil penerbangan nominal 100 peratus.

Sejurus pelancaran, roket berjaya melakukan pendakian yang lancar sebelum kedua-dua payung terjun drogue dan utama berjaya digunakan.

Roket kemudiannya mendarat dengan selamat dan dalam keadaan baik, selaras dengan spesifikasi reka bentuk serta keperluan keselamatan yang ditetapkan pasukan.

Dalam penerbangan tersebut, roket mencapai ketinggian maksimum 8,800 kaki, berbanding sasaran 10,000 kaki.

 

 

Walaupun ketinggian yang dicapai lebih rendah daripada sasaran dan memberi kesan kepada markah teknikal keseluruhan, kejayaan mendapatkan data telemetri serta memulihkan roket sepenuhnya memberikan data penting sebagai asas untuk penambahbaikan reka bentuk pada masa akan datang.

Selain prestasi penerbangan, pertandingan tersebut turut menjadi medan penting bagi pasukan menguji keupayaan teknikal dan menyelesaikan cabaran kejuruteraan secara langsung.

Sebelum pelancaran, pasukan berdepan keadaan cuaca panas di Texas serta beberapa isu integrasi yang tidak dijangka semasa proses pemasangan di lapangan dan persediaan akhir di tapak pelancaran.

Pasukan pelbagai disiplin itu terdiri daripada Vymarleena Avriel Pathma Raja, Aditteya A/L Kuppusamy, Krishna Baniel Renganathan, Muhammad Hafiz Hakimy Bin Gazali, Danish Irfan Saiful Nizam dan Aizad Aizal Abdul Aziz daripada Pusat Pengajian Kejuruteraan Aeroangkasa; Saravanan Murugeasan dan Lim Wiky daripada Pusat Pengajian Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik; serta Loganraj A/L Sugumaran daripada Pusat Pengajian Kejuruteraan Mekanik.

Pasukan tersebut turut dibimbing oleh penasihat, Dr. Chang Wei Shyang dari Pusat Pengajian Kejuruteraan Aeroangkasa.

Dengan roket berjaya dipulihkan sepenuhnya, data penerbangan berjaya diperoleh serta pengalaman pertandingan di peringkat antarabangsa yang bernilai, WAU Rocketry Team kini membawa pulang pelbagai input penting untuk menambah baik reka bentuk dan prestasi pasukan sebagai persediaan menghadapi pertandingan kejuruteraan akan datang.

Teks dan foto: Ihsan Dr. Chang Wei Shyang