PEJABAT PENGARAH KKTSS USM SERAH 320 BEG KELESTARIAN KEPADA LIMA AGENSI KESIHATAN DI TIGA NEGERI

NIBONG TEBAL, 17 Ogos 2026 - Pejabat Pengarah Kampus Kejuruteraan Tuanku Syed Sirajuddin (KKTSS), Universiti Sains Malaysia (USM) menerusi Program Penyerahan Beg Kelestarian: Banner to Bag (B2B) menyerahkan 320 beg hasil kitar guna banner terpakai kepada lima agensi kesihatan di Pulau Pinang, Perak dan Kedah.
Inisiatif B2B ini mencerminkan usaha Pejabat Pengarah KKTSS menggalakkan amalan guna semula dengan menukar bahan promosi yang tidak lagi digunakan kepada produk yang mempunyai nilai guna dan manfaat kepada komuniti.
Penyerahan oleh Pengarah Kampus KKTSS, Profesor Ir. Dr. Mariatti Jaafar @ Mustapha melibatkan Pejabat Kesihatan Daerah Seberang Perai Selatan (SPS), Klinik Kesihatan Sungai Acheh, Pejabat Kesihatan Daerah Kerian, Pejabat Kesihatan Daerah Bandar Baharu serta Unit Kesihatan USM KKTSS.
Menurut Profesor Ir. Dr. Mariatti, inisiatif itu dilaksanakan bagi memastikan banner yang digunakan dalam pelbagai program di kampus tidak berakhir sebagai sisa, sebaliknya diberi fungsi baharu yang boleh dimanfaatkan semula.
“Banyak banner yang kita hasilkan untuk program-program di kampus. Jadi, kita ambil inisiatif untuk menukarkannya menjadi beg yang boleh digunakan semula bagi pelbagai keperluan, termasuk membawa barangan atau bekalan perubatan,” ujarnya.


Menurut beliau, usaha tersebut selari dengan komitmen USM terhadap kelestarian, yang menjadi antara perkara penting dalam agenda universiti dan turut menyumbang kepada kedudukan USM dalam penarafan kelestarian di peringkat dunia.
Sementara itu, Ketua Penolong Pendaftar Pejabat Pengarah, Mohd Kamil Ashar berkata, program B2B merupakan antara inisiatif kelestarian KKTSS yang dilaksanakan selaras dengan komitmen USM terhadap agenda kelestarian.
“Program ini bermula pada 1 Mac 2026 di mana kira-kira 1,500 banner terpakai telah dikumpulkan, dengan 320 beg telah berjaya siap dihasilkan,” katanya.
“Program ini merupakan projek perintis dan penghasilan beg akan diteruskan berdasarkan keperluan. Sebahagian beg turut dirancang untuk disalurkan kepada Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM), Kelantan,” tambah beliau.
Pada sesi penyerahan tersebut, Pegawai Kesihatan Daerah Seberang Perai Selatan, Dr. Mas Harithulfadhli Agus Ab Rahman, menyambut baik inisiatif tersebut yang disifatkan memberi manfaat kepada pihak kesihatan dan komuniti.

“Penyerahan ini merupakan permulaan kepada satu bentuk kolaborasi yang baik antara USM dan pihak kesihatan. Kita juga mempunyai banyak program dan boleh melihat bagaimana usaha seperti ini dapat diguna pakai dan dicontohi dalam program-program klinik ini pada masa akan datang,” ujar beliau.
“Apatah lagi, usaha mengurangkan penggunaan bahan sekali guna seperti ini merupakan satu alternatif yang baik,” tambahnya.
Sementara itu, Pegawai Kesihatan Daerah Kerian, Dr. Rozaimah Abu Talib menyifatkan B2B sebagai satu inisiatif yang baik dan berpotensi mengukuhkan kerjasama antara kampus dengan pihak kesihatan.
Menurut beliau, sumbangan tersebut dapat memberi manfaat kepada pihak klinik dan pesakit, selain turut merakamkan penghargaan kepada USM kerana memilih Pejabat Kesihatan Daerah Kerian sebagai salah satu penerima, walaupun berada dalam daerah yang berbeza.
Daripada jumlah tersebut, sebanyak 50 unit beg diserahkan kepada Pejabat Kesihatan Daerah Seberang Perai Selatan dan 50 unit lagi untuk kegunaan Klinik Kesihatan Sungai Acheh. Sebanyak 100 unit turut diserahkan kepada Pejabat Kesihatan Daerah Kerian, 100 unit kepada Pejabat Kesihatan Daerah Bandar Baharu dan 20 unit kepada Unit Kesihatan USM KKTSS.
Teks: Siti Faizah Abd Halim/Foto: Muhammad Taufik Abdul Rahman