Skip to main content

SEMINAR LIBATSAMA INDUSTRI DEDAH REALITI KERJAYA DAN CABARAN INDUSTRI SEMIKONDUKTOR

NIBONG TEBAL, 13 Ogos 2026 - Pejabat Jaringan Industri, Bahagian Jaringan Industri dan Masyarakat (BJIM), dengan kerjasama Pusat Pengajian Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik (PPKEE), telah menganjurkan seminar “Inside the Semiconductor Industry: Careers, Challenges & Problems Worth Solving” hari ni.

Program ini turut dihadiri Pengarah Kampus Kejuruteraan Tuanku Syed Sirajuddin USM, Profesor Ir. Dr. Mariatti Jaafar @ Mustapha.

Seminar ini menyediakan platform kepada peserta untuk mendapatkan perspektif secara langsung daripada profesional industri mengenai peluang kerjaya, realiti dunia pekerjaan serta cabaran semasa yang dihadapi dalam industri semikonduktor.

Tiga profesional industri telah dijemput berkongsi pengalaman, iaitu Justin Lai, Pengurus Operasi Jualan di Lam Research, California; Naomi Xu, Penganalisis Data di Intel Corporation, California; dan John Paulson Moonjely, Penganalisis Operasi Perniagaan di Lam Research India.

 

 

Melalui pengalaman dalam bidang analitik data, operasi perniagaan dan operasi jualan, ketiga-tiga penceramah berkongsi perjalanan kerjaya serta memberi gambaran tentang kepelbagaian peranan profesional yang menyokong ekosistem industri semikonduktor.

Antara fokus utama seminar ialah menggalakkan peserta melihat industri semikonduktor melangkaui skop jawatan dan kerjaya. Peserta turut didedahkan kepada kaedah memahami operasi syarikat, mengenal pasti cabaran industri dan meneliti permasalahan yang boleh ditangani melalui penyelidikan serta inovasi.

Peserta juga digalakkan memahami kedudukan sesebuah syarikat dalam ekosistem semikonduktor yang lebih luas dan mengikuti perkembangan industri bagi mengenal pasti keperluan serta cabaran baharu yang memerlukan kepakaran akademik.

Bagi pelajar pascasiswazah dan penyelidik, perkongsian turut menyentuh kepentingan menyelaraskan penyelidikan universiti dengan keperluan sebenar industri, termasuk mengenal pasti permasalahan signifikan dan membangunkan persoalan penyelidikan yang relevan.

 

Sesi soal jawab interaktif pula memberi peluang kepada peserta berinteraksi secara langsung dengan para penceramah mengenai pembangunan kerjaya, jangkaan industri, peluang penyelidikan dan kompetensi yang diperlukan dalam sektor semikonduktor.

Penganjuran seminar ini merupakan sebahagian daripada usaha berterusan USM untuk merapatkan jurang antara pengetahuan akademik dengan keperluan industri, di samping meningkatkan pendedahan pelajar dan penyelidik terhadap perkembangan semasa sektor berkenaan.

Melalui program seumpama ini, USM terus menyediakan platform yang menghubungkan warga akademik dengan pengamal industri serta menyokong pembangunan bakat dan penyelidikan yang mampu menyumbang kepada penyelesaian cabaran sebenar dalam industri semikonduktor.

Teks: Ihsan Ts. ChM. Dr. Sumiyyah Sabar/Foto: Muhammad Taufik Abdul Rahman