Skip to main content

PETRA GROUP DAN GREEN RUBBER KUNJUNGI USM TEROKA KERJASAMA STRATEGIK

USM PULAU PINANG, 19 Ogos 2026 - Universiti Sains Malaysia (USM) menerima kunjungan delegasi PETRA Group dan Green Rubber Global bagi kunjungan hormat serta perbincangan strategik dalam meneroka potensi kerjasama dalam bidang inovasi teknologi, penyelidikan dan pengkomersialan.

Delegasi yang diketuai Pengerusi PETRA Group dan Green Rubber, Datuk Dr. Vinod B. Sekhar, disambut oleh Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), Profesor Dr. Habibah A. Wahab, bersama Profesor Dr. Mohd Hazwan Hussin, Profesor Ts. Dr. Zulkifli Mohamad Ariff, Profesor Madya Ts. Chm. Dr. Noorfatimah Yahaya, Profesor Madya Dr. Raa Khimi Shuib dan Nur Mariyam Musa.

Dalam kunjungan tersebut, PETRA Group menyatakan minat untuk mewujudkan Advanced Engineering & Technology Centre di USM sebagai platform bagi merapatkan jurang antara hasil penyelidikan akademik dengan pengkomersialan industri.

Pusat yang dicadangkan itu dijangka menyokong pembangunan teknologi, pengesahan pada skala perintis, kerjasama industri, pembangunan bakat serta pengkomersialan inovasi berimpak tinggi yang dihasilkan oleh USM dan komuniti penyelidikan Malaysia.

 

Inisiatif tersebut turut menjadi sebahagian daripada visi lebih luas PETRA Group untuk membawa teknologi Malaysia ke peringkat global.

Antara potensi yang dibincangkan ialah menghubungkan keupayaan penyelidikan USM dengan Tun Abdul Razak Research Centre (TARRC) di United Kingdom bagi membuka peluang kerjasama, pengesahan dan pengkomersialan teknologi di peringkat antarabangsa.

Cadangan kerjasama tersebut turut mempunyai nilai sejarah berikutan hubungan antara USM dengan Allahyarham Tan Sri Dr. Balachandra Chakkingal Sekhar (B. C. Sekhar), tokoh perintis industri getah Malaysia dan bapa kepada Datuk Dr. Vinod B. Sekhar.

Allahyarham Tan Sri Dr. B. C. Sekhar telah dianugerahkan Ijazah Kehormat Doktor Sains oleh USM pada tahun 1981.

Kunjungan tersebut mencerminkan minat bersama USM, PETRA Group dan Green Rubber untuk memperkukuh kerjasama universiti-industri serta meneroka peluang bagi memperluas aplikasi hasil penyelidikan dan inovasi Malaysia ke peringkat industri dan global.

Teks dan foto: Ihsan Pusat Pengajian Kejuruteraan Bahan dan Sumber Mineral