JENDELA ILMU GALAK BUDAYA DERMA DAN KONGSI BUKU DALAM KOMUNITI KAMPUS

JENDELA ILMU GALAK BUDAYA DERMA DAN KONGSI BUKU DALAM KOMUNITI KAMPUS
NIBONG TEBAL, 26 Ogos 2026 - Pejabat Pengarah Kampus Kejuruteraan Tuanku Syed Sirajuddin (KKTSS), Universiti Sains Malaysia (USM) dengan kerjasama Perpustakaan Musa Mohamad melancarkan Program Jendela Ilmu: Kempen Derma dan Kongsi Buku di Perpustakaan Musa Mohamad, hari ini.
Program tersebut dirasmikan oleh Pengarah Kampus KKTSS, Profesor Ir. Dr. Mariatti Jaafar @ Mustapha sebagai satu usaha menggalakkan budaya membaca, perkongsian ilmu serta penggunaan semula bahan bacaan yang masih berkualiti dalam kalangan warga kampus.
Menurut Mariatti, inisiatif yang dilihat ringkas itu berpotensi memberi manfaat besar apabila buku yang tidak lagi digunakan oleh pemiliknya dapat dikongsi dan dimanfaatkan oleh pembaca lain.
“Kadang-kadang, sebuah buku yang sudah selesai kita baca mungkin tidak lagi digunakan di rak rumah atau pejabat, tetapi apabila dikongsi, buku yang sama boleh menjadi sumber ilmu dan inspirasi kepada orang lain,” ujarnya.


“Mungkin bagi kita hanya sebuah buku, tetapi bagi orang lain, itulah bahan rujukan yang dicari atau pencetus kepada idea baharu,” katanya.
Beliau berkata, semangat perkongsian tersebut menjadi asas kepada pelaksanaan Jendela Ilmu yang bertujuan memberi peluang kepada buku-buku yang masih dalam keadaan baik untuk terus dimanfaatkan, di samping menyebarluaskan ilmu kepada lebih ramai pembaca.
Menurutnya, usaha itu juga selari dengan aspirasi Matlamat Pembangunan Mampan (SDGs) melalui usaha memperluas akses kepada bahan bacaan, menggalakkan penggunaan semula buku yang masih berkualiti serta membudayakan amalan saling membantu dalam komuniti.
Pengarah Kampus turut berharap kempen tersebut mendapat sambutan berterusan daripada warga KKTSS dan seluruh warga USM, sekali gus menjadikan amalan menderma dan berkongsi bahan bacaan sebagai sebahagian daripada budaya dalam komuniti kampus.


Sementara itu, Timbalan Ketua Pustakawan, Sukmawati Muhamad berkata, Jendela Ilmu membawa mesej bahawa ilmu akan menjadi lebih bernilai apabila dikongsi.
Menurut beliau, menerusi kempen tersebut, warga kampus bukan sahaja digalakkan untuk membudayakan amalan membaca, malah diberi ruang untuk berkongsi bahan bacaan dan memperluas manfaat ilmu kepada orang lain.
“Semoga buku yang kita dermakan hari ini menjadi sumber ilmu, inspirasi dan manfaat kepada pembaca yang seterusnya,” ujarnya sambil menyeru seluruh warga kampus untuk bersama-sama menyokong dan menjayakan inisiatif berkenaan.
Program Jendela Ilmu turut diharap dapat menjadi satu usaha berterusan dalam membina budaya membaca dan berkongsi ilmu, di samping mengeratkan hubungan dalam kalangan komuniti Kampus Kejuruteraan Tuanku Syed Sirajuddin.
Teks: Siti Faizah Abd Halim/Foto: Muhammad Taufik Abdul Rahman