USM METERAI MOU BERSAMA FULBRIGHT MALAYSIA PERKUKUH KERJASAMA AKADEMIK ANTARABANGSA

NIBONG TEBAL, 4 September 2026 - Universiti Sains Malaysia (USM) terus memperkukuh jaringan akademik antarabangsa menerusi pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) bersama Fulbright Malaysia (Malaysian-American Commission on Educational Exchange - MACEE) yang berlangsung sempena Sambutan Ulang Tahun Ke-80 Program Fulbright di Putrajaya, 1 September lalu.
MoU tersebut ditandatangani oleh Naib Canselor USM, Profesor Dato' Seri Ir. Dr. Abdul Rahman Mohamed, sebagai manifestasi komitmen kedua-dua pihak untuk memperluas kerjasama dalam bidang akademik, penyelidikan, pembangunan bakat dan mobiliti pendidikan antara Malaysia dengan Amerika Syarikat.
Turut hadir ialah Profesor Ir. Ts. Dr. Shahrel Azmin Sundi @ Suandi, Dekan Pusat Pengajian Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik (PPKEE), serta Profesor Dr. Asrulnizam Abd Manaf, Pengarah Pusat Usahasama Kecemerlangan Reka Bentuk Mikroelektronik (CEDEC), yang turut memainkan peranan dalam meneroka peluang kerjasama strategik antara kedua-dua pihak.
Menurut Profesor Shahrel, MoU tersebut bukan sahaja meneruskan hubungan sedia ada bersama Fulbright, malah berpotensi menjadi pemangkin kepada usaha USM dan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) untuk membina jaringan dengan universiti-universiti terkemuka di Amerika Syarikat, khususnya dalam menyokong agenda pembangunan teknologi semikonduktor negara.
Menerusi MoU ini, USM dan MACEE akan meneroka serta melaksanakan pelbagai inisiatif yang memberi manfaat kepada kedua-dua pihak, termasuk pembangunan akademik dan profesional melalui penganjuran program akademik, latihan, seminar dan bengkel bagi meningkatkan keupayaan dalam aspek pengajaran, pembelajaran dan kepimpinan.

Kedua-dua pihak turut bersetuju untuk berkongsi pengetahuan dan kepakaran dalam reka bentuk kurikulum, pedagogi serta inovasi pendidikan bagi menyokong peningkatan berterusan kualiti pengajaran dan pembelajaran.
Dalam bidang penyelidikan pula, kerjasama akan merangkumi pelaksanaan projek penyelidikan bersama, penerbitan ilmiah, persidangan akademik serta aktiviti kesarjanaan lain yang berpotensi menyumbang kepada perkembangan ilmu pengetahuan dalam bidang berkaitan.
MoU berkenaan turut membuka ruang kepada mobiliti pelajar dan staf melalui penempatan industri, latihan praktikal, lawatan akademik serta program pertukaran bagi memperluas pengalaman pembelajaran dan pendedahan rentas institusi.
Selain itu, kedua-dua organisasi akan meneroka peluang laluan akademik dan kemajuan pengajian yang membolehkan pelajar atau staf yang layak melanjutkan pengajian di USM, tertakluk kepada syarat kemasukan serta keperluan akademik yang berkuat kuasa.
Kerjasama ini turut merangkumi inisiatif penglibatan komuniti, program jangkauan pendidikan dan usaha meningkatkan kesedaran awam yang selari dengan nilai bersama dalam pendidikan, kelestarian dan tanggungjawab sosial.
Teks: Siti Faizah Abd Halim
Foto: Ihsan Fulbright Malaysia (Malaysian-American Commission on Educational Exchange - MACEE) dan Pusat Pengajian Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik USM