Skip to main content

MINAT BERBEZA, IMPIAN TETAP SAMA: PASANGAN KEMBAR DAN DUA BERADIK MULAKAN LANGKAH KEJURUTERAAN DI KKTSS USM

NIBONG TEBAL, 19 September 2026 - Pendaftaran pelajar baharu di Kampus Kejuruteraan Tuanku Syed Sirajuddin (KKTSS), Universiti Sains Malaysia (USM) di sini hari ini dimeriahkan dengan kehadiran dua pasangan adik-beradik yang memilih untuk meneruskan pengajian dalam bidang kejuruteraan mengikut minat dan kecenderungan masing-masing.

Lebih menarik, pasangan kembar berusia 19 tahun, Laaranya a/p Senthil Kumar dan Laxsaya a/p Senthil Kumar, memilih cabang kejuruteraan yang berbeza selepas melalui perjalanan pendidikan bersama sejak di bangku tadika.

Laaranya mendaftar dalam bidang Kejuruteraan Kimia berikutan minatnya yang mendalam terhadap mata pelajaran kimia, manakala Laxsaya memilih Kejuruteraan Aeroangkasa kerana meminati subjek fizik yang disifatkannya sebagai logik dan praktikal.

Laxsaya turut tertarik dengan bidang berkaitan dunia angkasa lepas dan penerbangan, sekali gus mendorongnya memilih bidang berkenaan sebagai laluan pengajian di peringkat universiti.

Menurut mereka, walaupun bakal mengikuti program pengajian yang berbeza, mereka tetap berpeluang berada dalam kampus yang sama selepas tidak pernah berpisah sepanjang pendidikan di tadika, sekolah rendah dan sekolah menengah. 

 

Bapa mereka, Senthil Kumar a/l Kaipuram, 51, berkata beliau menyokong penuh keputusan kedua-dua anaknya dan sememangnya mahu mereka melanjutkan pengajian di kampus yang tidak jauh dari rumah.

Pada sesi tersebut, pasangan kembar tersebut turut berpeluang bertemu dan menerima ucapan secara langsung dari Dekan Pusat Pengajian Kejuruteraan Kimia, Profesor Ir. Dr. Zainal Ahmad dan Dekan Pusat Pengajian Kejuruteraan Aeroangkasa, Profesor Madya Dr. Elmi Abu Bakar yang mengucapkan tahniah sambil mengalu-alukan kedatangan mereka ke pusat pengajian masing-masing.

Dalam pada itu, pendaftaran pelajar baharu turut menyaksikan pasangan dua beradik, Sugganya a/p Munisparan, 21, dan adiknya, Vimeleswaren a/l Munisparan, 19, mendaftar secara serentak di kampus berkenaan.

Sugganya, anak sulung daripada tiga beradik, sebelum ini mengikuti pengajian di peringkat diploma di sebuah politeknik di Johor sebelum memilih untuk meneruskan pengajian dalam bidang Kejuruteraan Sumber Mineral di USM.

Menurutnya, minat terhadap bidang kejuruteraan tercetus menerusi pembacaan serta ketertarikannya terhadap skop bidang berkenaan, selain mahu mencabar diri untuk menceburi bidang teknikal.

Adiknya, Vimeleswaren pula baharu menamatkan pengajian di peringkat matrikulasi sebelum memilih bidang Kejuruteraan Mekatronik (Elektrik dan Elektronik) sebagai bidang pengajian di USM.

Mereka sebelum ini menuntut di tempat berbeza, dengan Sugganya di Johor manakala Vimeleswaren di kolej matrikulasi, kemasukan ke USM menjadi peluang pertama untuk mereka belajar di kampus yang sama.

Mereka merupakan antara 900 pelajar baharu yang dijangka mendaftar di KKTSS bagi Sidang Akademik 2026/2027 kali ini, tidak termasuk pelajar antarabangsa serta pelajar Pusat Pengajian Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik (PPKEE) yang beroperasi di Kampus Induk USM.

Teks: Siti Faizah Abd Halim/Foto: Muhammad Taufik Abdul Rahman