USM PASTIKAN KEBAJIKAN 854 SISWA BAHARU TERJAGA, TIADA YANG TERCICIR KERANA KEKANGAN KEWANGAN

NIBONG TEBAL, 23 September 2026 - Universiti Sains Malaysia (USM) memberi jaminan bahawa aspek kebajikan, kesejahteraan dan sokongan kewangan siswa baharu akan terus diberi perhatian bagi memastikan mereka dapat mengikuti pengajian dengan baik tanpa dibelenggu masalah kewangan.
Berikut adalah seperti yang dinyatakan oleh Naib Canselor USM, Profesor Dato’ Seri Ir. Dr. Abdul Rahman Mohamed dalam amanat beliau kepada 854 siswa siswi baharu kejuruteraan sempena Majlis Sambutan Siswa Peringkat Kampus Kejuruteraan Tuanku Syed Sirajuddin (KKTSS) USM yang berlangsung di sini hari ini.
Menurutnya, sekitar 58 peratus daripada keseluruhan kemasukan siswa baharu USM pada tahun ini terdiri daripada anak-anak dalam kalangan keluarga B40, sekali gus memperlihatkan komitmen USM dalam memastikan latar belakang ekonomi bukan penghalang kepada akses pendidikan tinggi.


“Tidak semua yang masuk ke universiti ini datang daripada keluarga yang berkemampuan. Ada dalam kalangan mereka yang diberikan peluang untuk belajar walaupun mempunyai kekangan dari segi kewangan.
“Jangan sampai ada yang lapar, terpaksa ikat perut atau tidak dapat memberikan tumpuan kepada pelajaran kerana masalah kewangan. Kita tidak mahu keadaan itu berlaku,” katanya.
Beliau berkata, USM melalui pelbagai inisiatif akan terus berusaha memastikan siswa yang memerlukan mendapat bantuan, termasuk melalui Projek Sulung, Zakat Zawain dan Dapur Siswa MADANI BHEPA.


Katanya, melalui Projek Sulung, pihak universiti turut turun padang menziarahi dan mengenal pasti keadaan siswa yang memerlukan bantuan, manakala mereka yang tercicir daripada peluang tertentu tetapi masih memenuhi syarat akan turut diberi perhatian dan dibantu oleh universiti.
“Kalau ada yang tertinggal dan sebenarnya memenuhi syarat untuk menerima bantuan, USM akan cuba membantu. Kita mahu memastikan anak-anak kita ini dapat melalui tempoh pengajian mereka dengan sebaiknya,” ujar beliau.


“Empat tahun atau lebih di universiti ini adalah satu peluang yang sangat berharga. Gunakan tempoh ini dengan sebaik-baiknya supaya saudara dan saudari dapat keluar daripada kitaran kemiskinan dan membina kehidupan yang lebih baik,” katanya.
Dalam pada itu, Naib Canselor menyeru siswa supaya memanfaatkan tempoh pengajian dengan aktif dalam pembelajaran, persatuan, aktiviti kesukarelawanan dan projek berkumpulan bagi membina kemahiran komunikasi, kerja berpasukan serta penyelesaian masalah yang diperlukan dalam alam pekerjaan.
Beliau turut mengingatkan siswa supaya tidak terlalu bergantung kepada kecerdasan buatan (AI), sebaliknya memperkukuh asas sains, matematik dan kejuruteraan serta keupayaan berfikir dan membuat keputusan sendiri.
Katanya, AI perlu digunakan secara beretika dan bertanggungjawab sebagai alat sokongan pembelajaran.
Teks: Siti Faizah Abd Halim/Foto Muhammad Taufik Abdul Rahman