Skip to main content

USM, ITB METERAI MoA PERLUAS KERJASAMA KEJURUTERAAN DAN SUMBER MINERAL

NIBONG TEBAL, 30 September 2026 - Universiti Sains Malaysia (USM) dan Institut Teknologi Bandung (ITB), Indonesia hari ini memperkukuh hubungan akademik dua hala menerusi pemeteraian Memorandum Perjanjian (MoA).

Perjanjian tersebut dimeterai melalui Pusat Pengajian Kejuruteraan Bahan dan Sumber Mineral (PPKBSM) USM dan Fakulti Kejuruteraan Perlombongan dan Petroleum (FTTM) ITB, khususnya dalam bidang kejuruteraan, perlombongan, sumber mineral, metalurgi dan bahan.

Pengarah Kampus Kejuruteraan Tuanku Syed Sirajuddin, Profesor Ir. Dr. Mariatti Jaafar @ Mustapha, yang mewakili Naib Canselor USM, berkata kerjasama dengan ITB sebelum ini telah melibatkan pertukaran pelajar, pensyarah jemputan dan pelantikan pemeriksa luar, sekali gus menyediakan asas yang kukuh untuk memperluas jaringan akademik kedua-dua institusi.

Menurutnya, Pusat Pengajian Kejuruteraan Bahan dan Sumber Mineral USM mempunyai kekuatan tersendiri menerusi penawaran program Kejuruteraan Sumber Mineral yang merupakan satu-satunya program prasiswazah seumpamanya di Malaysia, selain menjadi perintis dalam bidang Kejuruteraan Bahan dan Kejuruteraan Polimer.

“MoA ini diharap dapat dimanfaatkan sepenuhnya melalui penyelidikan bersama, permohonan geran antarabangsa serta program pendedahan antarabangsa seperti summer camp yang dapat membina ekosistem akademik yang lebih terbuka dan dinamik,” katanya.

Sementara itu, Dekan FTTM ITB, Profesor Dr. Eng. Ir. Syafrizal, berkata bidang pengajian yang ditawarkan FTTM dan PPKBSM mempunyai keselarasan yang kukuh, berperanan dalam menangani cabaran industri serta sektor tenaga di Indonesia dan Malaysia.

Beliau berkata, MoA berkenaan bukan sekadar dokumen pentadbiran, sebaliknya menjadi platform untuk melaksanakan aktiviti yang memberi manfaat bersama, termasuk mobiliti pelajar dan staf akademik bagi membina jaringan profesional, kefahaman silang budaya, perkongsian ilmu, inovasi teknologi dan pemindahan kepakaran.

Dalam pada itu, Dekan PPKBSM, Profesor Ts. Dr. Zulfitri Mohamad Arif, berkata kerjasama tersebut turut memberi ruang untuk kedua-dua institusi memperluas pengajaran dan pembelajaran, penyelidikan bersama, penerbitan saintifik, penganjuran seminar serta penyeliaan bersama pelajar pascasiswazah.

Menurut beliau, perkembangan industri sumber mineral masa kini memerlukan pendekatan yang lebih bertanggungjawab dengan memberi perhatian kepada kelestarian alam sekitar, kecekapan sumber, keselamatan dan penggunaan teknologi baharu.

“Yang penting ialah memastikan komitmen ini diterjemahkan kepada aktiviti dan kerjasama yang nyata, khususnya dalam penyelidikan, pembangunan bakat dan perkongsian kepakaran bagi menyumbang kepada pembangunan sumber mineral yang lebih mampan di rantau ini,” ujar beliau.

Teks: Siti Faizah Abd Halim/Foto: Muhammad Taufik Abdul Rahman