Skip to main content

USM, MPBPP PERKUKUH PEMBANGUNAN BAKAT STEM MENERUSI DRONE SOCCER & ROBOTIC COMPETITION 2026

NIBONG TEBAL, 30 September 2026 - Universiti Sains Malaysia (USM) bersama Majlis Pembangunan Bumiputera Pulau Pinang (MPBPP) hari ini telah berjaya menganjurkan Drone Soccer & Robotic Competition 2026, Piala Pengerusi Majlis Pembangunan Bumiputera Pulau Pinang.

Penganjuran ini diadakan sebagai platform memperkukuh pembangunan bakat dalam bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) sambil memberi peluang kepada peserta meneroka teknologi dron serta robotik menerusi aktiviti elektronik, mekanikal, kawalan, pengaturcaraan dan komunikasi.

Pengerusi MPBPP, Tan Sri Khalid Ramli, berkata pertandingan tersebut bukan sekadar mencari pemenang, sebaliknya menjadi platform untuk mengenal pasti dan membangunkan bakat muda yang berpotensi menjadi jurutera, teknologis, penyelidik dan usahawan teknologi pada masa hadapan.

 

Menurut beliau, pembangunan modal insan Bumiputera perlu bergerak seiring dengan perubahan ekonomi yang semakin dipacu oleh teknologi dengan memberi tumpuan kepada penguasaan kompetensi, penciptaan nilai dan pemilikan teknologi.

“Generasi muda Bumiputera perlu dipersiapkan bukan sahaja sebagai tenaga kerja, tetapi juga sebagai tenaga mahir, profesional, inovator, pencipta teknologi dan usahawan,” katanya.

Beliau berkata, kerjasama antara universiti, sekolah, industri, kerajaan dan agensi berkaitan penting dalam menghubungkan kepakaran, bakat serta keperluan industri bagi membentuk ekosistem pembangunan teknologi yang lebih menyeluruh.

Sementara itu, Pengarah Kampus Kejuruteraan Tuanku Syed Sirajuddin USM, Profesor Ir. Dr. Mariatti Jaafar @ Mustapha, berkata perkembangan kecerdasan buatan, robotik, dron, automasi dan sistem pintar kini memberi kesan yang semakin jelas terhadap pendidikan, industri dan kehidupan seharian.

Menurut beliau, pendedahan kepada teknologi melalui pertandingan seperti itu membolehkan peserta melalui proses merancang, menguji, mengenal pasti kelemahan dan membuat penambahbaikan, selain membina kemahiran kerja berpasukan, komunikasi dan membuat keputusan.

“USM sentiasa memberi perhatian terhadap pembangunan bakat dalam bidang STEM dan melihat pendedahan seperti ini sebagai sebahagian daripada usaha mendekatkan bidang kejuruteraan dan teknologi dengan generasi muda,” katanya.

Beliau turut berharap peserta memanfaatkan peluang tersebut untuk menguji pengetahuan dan kemahiran masing-masing, termasuk belajar daripada kesilapan sepanjang proses menghasilkan penyelesaian.

Turut hadir, Pengarah Bahagian Penyelarasan Penyertaan Bumiputera Pulau Pinang, Unit Penyelarasan Pelaksanaan, Jabatan Perdana Menteri, Dr. Haji Syaharudin Shah Mohd Nor; Dekan Pusat Pengajian Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik USM, Profesor Ir. Ts. Dr. Shahrel Azmin Sundi @ Suandi; serta Pengurus Program EdTech, Cytron Technologies, Adrian Teo.

Teks: Nor Hidayati Zolkornain (Pelajar Latihan Industri Pejabat Pengarah Tuanku Syed Sirajuddin)/Foto: Muhammad Taufik Abdul Rahman