Skip to main content

LAWATAN TIMBALAN MENTERI KOMUNIKASI TINJAU PELAKSANAAN PROJEK WI-FI IPTA DI USM

NIBONG TEBAL, 3 Oktober 2026 - Timbalan Menteri Komunikasi, YB Teo Nie Ching hari ini mengadakan lawatan kerja ke Kampus Kejuruteraan Tuanku Syed Sirajuddin, Universiti Sains Malaysia (USM), bagi meninjau pelaksanaan Projek Pemberian Perkhidmatan Sejagat (USP) Wi-Fi di Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) di Pulau Pinang.

Menurut beliau, pelaksanaan projek berkenaan merupakan antara usaha Kementerian Komunikasi melalui Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) untuk memperkukuh ketersambungan digital di institusi pendidikan awam, selaras dengan keperluan pembelajaran dan kehidupan kampus yang semakin bergantung kepada perkhidmatan digital.

Beliau berkata, peningkatan kapasiti dan kualiti capaian Wi-Fi amat penting bagi menyokong aktiviti warga kampus, khususnya di kawasan tumpuan seperti dewan kuliah, makmal, perpustakaan, pusat pelajar dan kolej kediaman.

   

“Sebanyak 822 titik akses tambahan di bawah Projek Wi-Fi IPTA Fasa 3 telah siap dilaksanakan pada 18 September 2026, lebih awal daripada sasaran asal pada 23 September 2026,” katanya dalam siaran media sempena lawatan berkenaan.

Menurut beliau, daripada jumlah tersebut, sebanyak 740 titik akses disediakan di USM Kampus Kejuruteraan Tuanku Syed Sirajuddin, manakala masing-masing 41 titik akses di Pusat Kanser Tun Abdullah Ahmad Badawi (PKTAAB), Bertam dan USM ukit Jambul.

Pelaksanaan Fasa 3 tersebut melengkapkan 1,103 titik akses yang telah disediakan menerusi Fasa 2 pada Julai 2025, menjadikan keseluruhan 1,925 titik akses beroperasi di USM setakat 30 September 2026.

Dalam pada itu, beliau berkata kerja pemasangan tambahan sebanyak 4,150 titik akses di USM Kampus Induk sedang dilaksanakan dan disasarkan siap menjelang 30 Oktober 2026.

“Di Pulau Pinang, pelaksanaan inisiatif peluasan Wi-Fi ini melibatkan 32 lokasi yang merangkumi IPTA serta institusi di bawah Majlis Amanah Rakyat (MARA) dan Kementerian Sumber Manusia (KESUMA), dengan 24 lokasi atau 75 peratus telah siap setakat 29 September 2026,” katanya.

Beliau berkata projek berkenaan melibatkan anggaran pelaburan sebanyak RM61.5 juta melalui USP, manakala di peringkat nasional, pelaksanaan projek Wi-Fi tersebut melibatkan 538 lokasi dengan anggaran pelaburan keseluruhan sekitar RM634.1 juta.

“Sebanyak 408 lokasi atau 76 peratus telah siap setakat 30 September 2026, manakala pelaksanaan di lokasi selebihnya sedang diteruskan,” katanya.

Beliau turut menegaskan bahawa Kementerian Komunikasi dan MCMC akan terus bekerjasama dengan Kementerian Pendidikan Tinggi, institusi pendidikan serta penyedia perkhidmatan bagi memperluas capaian Internet berkualiti secara berperingkat.

Menurut beliau, pelaburan melalui USP diharap dapat memberikan manfaat langsung kepada mahasiswa, tenaga pengajar serta komuniti pendidikan menerusi capaian Internet yang lebih stabil dan pantas, sekali gus menyokong pembangunan modal insan serta pertumbuhan ekonomi. 

Turut hadir, YB H'ng Mooi Lye, Exco Kerajaan Tempatan dan Perancangan Bandar dan Desa; YB Heng Lee Lee, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Berapit; YB Wong Yuee Harng, ADUN Pengkalan Kota; Profesor Ir. Dr. Nor Ashidi Mat Isa, Ketua Pegawai Digital (CDO) merangkap Pengarah Pusat Transformasi Digital USM; Pengarah Kanan MCMC Wilayah Utara, Izani Othman; serta Pengurus Besar Selangor Industrial Corporation Sdn. Bhd. (SIC), Fauzan Mohd Elham.

Teks: Siti Faizah Abd Halim/Foto: Najmi Haikal Nadzaruddin