12 PELAJAR USM SERTAI PROGRAM WARGA EMAS TERUS BELAJAR, TERUS BERDAYA BERSAMA PYV

PULAU PINANG, 7 Oktober 2026 - Seramai 12 pelajar Universiti Sains Malaysia (USM) menyertai Program Warga Emas Terus Belajar, Terus Berdaya anjuran bersama Penang Youth Volunteers (PYV) yang berlangsung di Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Setar, Parit Buntar, Perak pada 5 Oktober, baru-baru ini.
Program berkenaan bertujuan mengeratkan hubungan antara generasi muda, khususnya mahasiswa, dengan warga emas dan golongan Orang Kurang Upaya (OKU) dalam komuniti setempat.
Program ini turut memberi pendedahan kepada belia dan mahasiswa mengenai kepentingan keprihatinan sosial serta membentuk kemahiran berinteraksi dengan golongan warga emas dan OKU.
Melalui aktiviti interaktif dan lapangan, para peserta berpeluang berinteraksi secara langsung dengan warga emas dan golongan OKU, sekali gus memupuk nilai empati, sikap saling menghormati serta kesedaran untuk menyumbang kepada kesejahteraan komuniti.
Penganjuran program ini selaras dengan aspirasi PYV dan USM dalam membentuk mahasiswa yang prihatin terhadap keperluan masyarakat serta mampu memainkan peranan aktif dalam aktiviti kesukarelawanan dan khidmat komuniti.
Peserta USM yang terlibat adalah Muhammad Thaqif Hisham Zamri, Syed Adib Razin Shahabudin Syed Fisol, Syamil Adlan Mohd Yaz, Nasrul Haziq Rossani, Muhammad Amirul Azim Zulkifli, Muhammad Haikal Thaqif Mohd Isris, Nur Aleyssa Sofea Nawawi, Khadeeja Hakeem Zainori, Nur Asma Nazira Mohd Zolnaidi, Nurarfa Nazeeha Azman, Mohd Aiman Fadhli Zakaria dan Muhammad Kamal Hafiz Zakaria.
Teks dan Foto: Ihsan Sukarelawan Belia Pulau Pinang dan Peserta Program Warga Emas Terus Belajar, Terus Berdaya SK Sungai Setar