Skip to main content

USM, WFEO BINCANG PELUANG KERJASAMA DALAM PENDIDIKAN DAN INOVASI KEJURUTERAAN

NIBONG TEBAL, 13 Oktober 2026 - Kampus Kejuruteraan Tuanku Syed Sirajuddin (KKTSS), Universiti Sains Malaysia (USM) terima kunjungan hormat Presiden World Federation of Engineering Organizations (WFEO), Er. Dr. Seng-Chuan Tan, bagi membincangkan potensi kerjasama dalam pendidikan kejuruteraan, perkongsian kepakaran dan pembangunan profesional.

Pertemuan yang berlangsung di Pusat Penyelidikan Kejuruteraan Sungai dan Saliran Bandar (REDAC) itu turut menjadi platform untuk bertukar pandangan mengenai peranan WFEO dalam pembangunan kejuruteraan di peringkat antarabangsa serta peluang penglibatan universiti dalam inisiatif berkaitan.

Pengarah KKTSS USM, Profesor Ir. Dr. Mariatti Jaafar @ Mustapha berkata, kunjungan tersebut memberi peluang kepada universiti untuk memahami dengan lebih mendalam peranan dan inisiatif WFEO, di samping mengenal pasti bidang yang berpotensi untuk kerjasama pada masa hadapan.

Beliau berharap pertemuan itu menjadi asas kepada hubungan yang lebih erat antara USM dengan WFEO, khususnya dalam perkongsian ilmu, pendidikan kejuruteraan dan pembangunan profesional.

                         

                       

Sementara itu, Er. Dr. Seng-Chuan Tan berkongsi mengenai peranan WFEO sebagai organisasi antarabangsa yang menghimpunkan lebih 100 pertubuhan kejuruteraan kebangsaan dan mewakili kira-kira 30 juta jurutera di seluruh dunia.

Ditubuhkan pada 1968, WFEO beroperasi di bawah naungan Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) di Paris.

Antara bidang tumpuannya termasuk pembangunan keupayaan di negara membangun, isu perubahan iklim dan kenaikan paras laut serta galakan inovasi dalam kalangan jurutera muda menerusi inisiatif seperti pertandingan hackathon.

Beliau turut menyentuh penglibatan Malaysia dalam WFEO melalui Institution of Engineers Malaysia (IEM), termasuk peranan Malaysia dalam mempengerusikan Jawatankuasa Inovasi dan Teknologi Kejuruteraan, salah satu daripada 13 jawatankuasa teknikal tetap persekutuan tersebut.

Perkongsian itu memberikan pendedahan kepada USM mengenai jaringan dan inisiatif kejuruteraan di peringkat global, di samping menyediakan asas untuk mengenal pasti peluang penglibatan universiti dalam bidang yang berkaitan.

Teks: Siti Faizah Abd Halim/Foto: Ihsan Pusat Penyelidikan Kejuruteraan Sungai dan Saliran Bandar (REDAC)