Skip to main content

SESI TAKLIMAT DAN PENYERAHAN PELAJAR KOKURIKULUM BERKREDIT KKTSS USM LIBATKAN 487 PELAJAR DALAM 25 KURSUS

NIBONG TEBAL, 14 Oktober 2026 - Seramai 487 pelajar Tahun 1 hingga Tahun 4 Kampus Kejuruteraan Tuanku Syed Sirajuddin (KKTSS), Universiti Sains Malaysia (USM), telah menghadiri Taklimat dan Sesi Penyerahan Pelajar Kokurikulum Berkredit bagi Semester 1, Sidang Akademik 2026/2027 yang melibatkan 25 kursus kokurikulum.

Sebanyak 25 kursus ditawarkan pada semester ini dan dikendalikan oleh 19 orang jurulatih, merangkumi pelbagai aktiviti sukan serta kebudayaan seperti pingpong, petanque, karate, taekwondo, gitar dan badminton.

Kursus kokurikulum berkredit merupakan sebahagian daripada keperluan kredit pengajian yang perlu dipenuhi oleh pelajar sebagai salah satu syarat bergraduat yang ditetapkan oleh universiti.

Pengerusi Rancangan Sukan dan Kebudayaan, Pusat Rancangan Kokurikulum KKTSS USM, Profesor Madya Dr. Azam Taufik Mohd Din, ketika menyampaikan taklimat, mengingatkan pelajar supaya mematuhi peraturan yang ditetapkan serta menjaga kehadiran sepanjang mengikuti kursus masing-masing.

Beliau turut menekankan kepentingan disiplin dan komitmen pelajar dalam mengikuti setiap sesi serta melaksanakan aktiviti yang dirancang bagi memastikan kursus berjalan lancar.

Teks: Siti Faizah Abd Halim/Foto: Muhammad Taufik Abdul Rahman