Skip to main content

PEJABAT PENGARAH KKTSS USM SERAHKAN 300 BEG KELESTARIAN KEPADA PUSAT SEJAHTERA USM

NIBONG TEBAL, 14 Oktober 2026 - Pejabat Pengarah Kampus Kejuruteraan Tuanku Syed Sirajuddin (KKTSS), Universiti Sains Malaysia (USM), menyerahkan 300 beg kelestarian kepada Pusat Sejahtera USM menerusi inisiatif Banner to Bag (B2B) bagi menggalakkan penggunaan semula bahan terpakai.

Inisiatif B2B menukarkan kain rentang terpakai daripada pelbagai program dan aktiviti kampus kepada beg guna semula, sekali gus membantu mengurangkan sisa buangan dan menyokong amalan kelestarian.

Pengarah Kampus, Profesor Ir. Dr. Mariatti Jaafar @ Mustapha, menjelaskan bahawa inisiatif tersebut bermula dengan usaha mengumpulkan kain rentang terpakai daripada program pelajar dan pusat pengajian untuk diolah menjadi beg guna semula.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Pejabat Kelestarian Universiti (PKU) atas sokongan bagi menjayakan inisiatif berkenaan.

Menurut beliau, sekitar 400 beg telah diagihkan kepada beberapa pejabat kesihatan daerah dan klinik kesihatan sebelum ini untuk kegunaan pesakit yang mengambil ubat. Pesakit turut digalakkan membawa semula beg tersebut ketika mendapatkan bekalan ubat pada kunjungan seterusnya.

Sementara itu, Pengarah Pusat Sejahtera USM, Dr. Ahmad Zaimi Abdul Latiff, menyambut baik inisiatif B2B yang disifatkan sebagai idea yang baik dan berpotensi untuk dilaksanakan di Pusat Sejahtera USM bagi menggalakkan penggunaan semula bahan terpakai serta menyokong agenda kelestarian universiti.

Pengarah Pejabat Kelestarian Universiti, ChM Dr. Normaliza Abdul Manaf, turut menyokong inisiatif tersebut yang seiring dengan amalan Bring Your Own Bag melalui usaha menggalakkan penggunaan semula beg dan mengurangkan kebergantungan terhadap beg baharu.

Menurut beliau, B2B turut menyokong Matlamat Pembangunan Mampan (SDG 12), iaitu Penggunaan dan Pengeluaran yang Bertanggungjawab, serta prinsip ekonomi kitaran yang menekankan penggunaan semula bahan bagi mengurangkan sisa.

Beliau turut menyatakan sokongan terhadap permohonan penambahan peruntukan kewangan bagi memastikan projek tersebut dapat diteruskan dan diperluas pada masa hadapan.

Dalam sesi perkongsian yang sama, Ketua Penolong Pendaftar Pejabat Pengarah KKTSS, Mohd Kamil Ashar, turut berkongsi perkembangan inisiatif B2B, termasuk pelaksanaan dan perjalanan projek tersebut dan projek-projek lain.

Beliau turut berkongsi inisiatif kelestarian lain yang sedang dilaksanakan oleh Pejabat Pengarah KKTSS, termasuk Program Santai Sihat yang kini memasuki fasa kedua serta Projek Laman Lestari melalui penanaman pokok bunga dan herba di kawasan sekitar pejabat.

Teks: Nor Hidayati Zolkornian (Pelajar Latihan Industri Pejabat Pengarah) / Gambar: Muhammad Taufik Abdul Rahman