KKTSS USM TEROKA KERJASAMA STRATEGIK PERKASA KEJURUTERAAN LESTARI DI LANGKAWI

NIBONG TEBAL, 23 Oktober 2026 - Pusat Rancangan Kokurikulum (PRK) Kampus Kejuruteraan Tuanku Syed Sirajuddin (KKTSS), Universiti Sains Malaysia (USM) menerusi Program Sinergi KKTSS USM ke Langkawi: Memperkasa Kejuruteraan Lestari melalui Penyelidikan dan Jaringan Strategik, meneroka peluang kerjasama dalam bidang kejuruteraan dan penyelidikan menerusi lawatan ke beberapa institusi di Langkawi pada 19 hingga 21 Oktober lalu.
Program dengan kerjasama kursus WSU101 Kelestarian: Isu, Cabaran dan Prospek serta WSC127 Pengurusan Acara 1, Kampus Kejuruteraan Tuanku Syed Sirajuddin (KKTSS), ini bertujuan menghubungkan pengetahuan akademik dengan amalan kelestarian, khususnya dalam pembangunan mampan, penyelidikan alam sekitar dan aplikasi sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM).
Antara pengisian utama ialah lawatan ke Bahagian Kejuruteraan Teknikal, Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA), serta Pusat Penyelidikan Langkawi (PPL) di bawah Pusat Pengurusan Makmal Alami dan Fizikal Universiti Kebangsaan Malaysia (ALAF-UKM).
Lawatan tersebut membuka ruang untuk meneroka kerjasama strategik, pertukaran kepakaran dan perkongsian ilmu dalam bidang kejuruteraan serta penyelidikan bagi menyokong kelestarian alam sekitar.
Timbalan Pengarah PRK KKTSS USM, Profesor Madya Dr. Mohd Salman Abu Mansor berkata, program itu merupakan langkah awal untuk mengenal pasti peluang kerjasama dan pertukaran kepakaran penyelidikan antara USM, LADA dan PPL @ ALAF-UKM.


Menurut beliau, jaringan strategik antara institusi akademik dan agensi berkaitan berpotensi memperluas perkongsian ilmu serta meneroka penyelesaian kejuruteraan lestari yang relevan dengan cabaran semasa.
Sementara itu, Pengerusi Rancangan PRK KKTSS USM, Profesor Madya Dr. Azam Taufik Mohd Din berkata, lawatan tersebut memberi pendedahan kepada peserta tentang pengurusan dan pembangunan lestari, selain membuka peluang memperkukuh jaringan antara institusi akademik dengan agensi berkaitan.
Pendedahan di PPL @ ALAF-UKM dan Kilim Geopark turut membantu peserta memahami peranan pengurusan makmal alami, penyelidikan geopark dan aplikasi STEM dalam pemeliharaan ekosistem geologi serta pengurusan sumber alam secara bertanggungjawab.
Lawatan ke LADA pula memberi pendedahan tentang kepentingan integriti, akauntabiliti dan tadbir urus lestari dalam perancangan pembangunan, selaras dengan usaha mengimbangi kemajuan, kesejahteraan masyarakat dan pemeliharaan alam sekitar.
Program ini turut melibatkan tenaga pengajar kursus WSU101, Ir. Dr. Nur Ayshah Rosli.
Teks: Siti Faizah Abd Halim/Foto: Ihsan Pusat Rancangan Kokurikulum KKTSS USM