Skip to main content

USM PERLUAS AKSES INDUSTRI KEPADA PELUANG PENDIDIKAN DAN LATIHAN MELALUI TALENT DEVELOPMENT PROGRAMME

PULAU PINANG, 28 Oktober 2026 - Universiti Sains Malaysia (USM) memperkukuh komitmennya dalam pembangunan tenaga kerja berkemahiran dan bersedia menghadapi perubahan teknologi menerusi Program Pembangunan Bakat (Talent Development Programme) yang diadakan bersempena dengan USM International Conference on Engineering 2026 (USM ICE 2026).

Program khas bersama industri ini bertujuan memperkenalkan peluang latihan semula kemahiran (reskilling) kepada pekerja industri bagi membantu mereka menyesuaikan diri dengan perkembangan teknologi serta keperluan industri yang sentiasa berubah.

Penganjuran program ini turut membawa makna tersendiri bersempena ulang tahun ke-25 Kampus Kejuruteraan Tuanku Syed Sirajuddin USM, sekali gus mencerminkan komitmen universiti untuk memperkukuh hubungan strategik dengan industri dan memperluas peluang pembelajaran sepanjang hayat.

Seramai 45 wakil daripada 28 syarikat dan organisasi telah menyertai taklimat tersebut yang mengetengahkan peluang melanjutkan pengajian, program pascasiswazah serta laluan pembangunan profesional yang ditawarkan oleh USM, khususnya di Kampus Kejuruteraan Tuanku Syed Sirajuddin.

Hadir menyampaikan taklimat pembukaan adalah Pengarah Kampus Kejuruteraan Tuanku Syed Sirajuddin, Profesor Ir. Dr. Mariatti Jaafar @ Mustapha, yang berkongsi maklumat tentang peluang pengajian pascasiswazah kepada pemain industri dan pekerja yang berminat meningkatkan kelayakan akademik serta mengembangkan kompetensi dalam bidang kejuruteraan.

Sesi tersebut turut mengetengahkan peluang kepada golongan profesional untuk menyambung pengajian dan membina kemahiran baharu yang relevan dengan keperluan pekerjaan serta perkembangan sektor industri.

Selain itu, Dekan Pusat Pengajian Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik USM, Profesor Ir. Ts. Dr. Shahrel Azmin Sundi @ Suandi, turut berkongsi maklumat berkaitan program pengajian kejuruteraan yang ditawarkan oleh USM, khususnya dalam bidang elektrik dan elektronik, bagi membuka ruang kepada pekerja industri meningkatkan pengetahuan serta kemahiran teknikal mereka.

Turut diperkenalkan ialah laluan Accreditation of Prior Experiential Learning (APEL) USM yang disampaikan oleh Dr. Zarina Md Nor, Penyelaras APEL USM, yang membuka peluang kepada individu berpengalaman untuk meneruskan pengajian berdasarkan pengalaman pembelajaran terdahulu, tertakluk kepada syarat dan ketetapan yang ditetapkan.

Sementara itu, Pengarah Pusat Usahasama Kecemerlangan Rekabentuk Mikroelektronik (CEDEC), Profesor Dr. Asrulnizam Abd Manaf, serta Pengarah Jaringan Industri USM, Profesor Madya Ts. Dr. Wan Maryam Wan Ahmad Kamil, turut terlibat dalam perkongsian berkaitan peluang kerjasama dan hubungan universiti-industri bagi menyokong pembangunan bakat serta memenuhi keperluan tenaga kerja masa hadapan.

Program tersebut turut menampilkan perkongsian oleh Ketua Pejabat Negeri Pulau Pinang, Human Resource Development Corporation (HRD Corp), Puteri Simaa Megat Ismail, yang menerangkan peluang, prosedur dan manfaat yang ditawarkan oleh HRD Corp dalam menyokong pembangunan kemahiran tenaga kerja.

Perkongsian beliau memberi pendedahan kepada wakil yang hadir tentang bagaimana syarikat dan pemain industri boleh memanfaatkan program latihan yang dibiayai oleh HRD Corp bagi meningkatkan kemahiran pekerja serta memenuhi keperluan pembangunan bakat organisasi masing-masing.

Melalui inisiatif ini, USM terus memperkukuh peranannya sebagai rakan strategik industri dalam membangunkan tenaga kerja berkemahiran tinggi, berdaya saing dan bersedia menghadapi keperluan industri masa hadapan.

Teks: Siti Faizah Abd Halim / Foto: Muhammad Taufik Abdul Rahman