Skip to main content

PROGRAM PENDAKIAN BUKIT TEBUAN TARIK PENYERTAAN HAMPIR 70 STAF WARGA KKTSS USM

NIBONG TEBAL, 30 Oktober 2026 - Hampir 70 warga staf Kampus Kejuruteraan Tuanku Syed Sirajuddin (KKTSS), Universiti Sains Malaysia (USM) menyertai Program Pendakian Bukit Tebuan di Bandar Baharu, Kedah yang berlangsung hari ini.

Program anjuran bersama Pejabat Pengarah dan Pusat Islam KKTSS USM itu bertujuan menggalakkan amalan gaya hidup sihat dan aktif dalam kalangan staf, selain menyediakan ruang untuk mereka beriadah serta mengeratkan hubungan melalui aktiviti luar.

Pengarah KKTSS, Profesor Ir. Dr. Mariatti Jaafar @ Mustapha, berkata program berkenaan merupakan sebahagian daripada inisiatif Santai Sihat yang menyediakan peluang kepada warga kampus untuk melibatkan diri dalam aktiviti fizikal di luar persekitaran kerja.

“Selain meningkatkan kecergasan, aktiviti pendakian seperti ini memberi peluang kepada warga kampus menikmati keindahan alam semula jadi sambil meluangkan masa bersama rakan sekerja,” kata beliau.

“Saya berharap penglibatan dalam aktiviti seumpama ini dapat mendorong warga kampus untuk menjadikan senaman sebagai amalan berterusan, sekali gus membantu mencapai tahap kesihatan yang lebih baik,” ujarnya.

Sementara itu, Pengarah Program, Mohd Kamil Ashar berkata, kelancaran program turut mendapat sokongan beberapa pihak yang turut bekerjasama dan memberikan sumbangan.

Beliau merakamkan penghargaan kepada pihak pengurusan Bukit Tebuan atas kebenaran menggunakan lokasi berkenaan bagi aktiviti pendakian, selain menghargai kesudian Pengarah Kampus KKTSS menaja jamuan makan tengah hari di Pusat Islam KKTSS untuk para peserta selepas aktiviti selesai.

Penghargaan turut diberikan kepada TFD Malaysia Sdn. Bhd. melalui aktiviti Lipton Soda Truck Roving Activation atas sumbangan tajaan sebanyak 100 botol minuman Lipton Soda kepada peserta.

Program tersebut turut mendapat khidmat empat malim gunung, iaitu Ts. Fahmi Reza Abd Patah, Jurutera dan Muhammad Syamim Abdul Razak, Jurutera dan Penolong Pegawai Pertanian dari Jabatan Pembangunan dan Pengurusan Fasiliti; Abdul Halim Che A'at, Penolong Jurutera dari Pusat Pengajian Kejuruteraan Mekanik; serta Mohd Suharudin Sulong, Penolong Jurutera dari Pusat Pengajian Kejuruteraan Bahan dan Sumber Mineral.

Penganjuran program seumpama ini diharap dapat diteruskan sebagai salah satu platform untuk menggalakkan aktiviti fizikal dan membina hubungan lebih erat dalam kalangan warga KKTSS USM.

Teks: Siti Faizah binti Abd Halim / Gambar: Muhammad Taufik Abdul Rahman