Skip to main content

TAKLIMAT HALA TUJU DAN TIPS PENGAJIAN TINGGI BERI INSPIRASI KEPADA PELAJAR TINGKATAN ENAM USM

NIBONG TEBAL, 26 Oktober 2026 - Pejabat Pengarah, Kampus Kejuruteraan Tuanku Syed Sirajuddin (KKTSS) dengan kerjasama Pusat Pengajian Tingkatan Enam (PPTE), hari ini menganjurkan Taklimat Hala Tuju dan Tips Pengajian Tinggi kepada pelajar Program Tingkatan Enam Dalam Kampus Universiti Universiti Sains Malaysia (USM).

Taklimat tersebut menampilkan penceramah jemputan daripada Pusat Pengajian Kejuruteraan Kimia, Profesor Dr. Mohd Azmier Ahmad yang berkongsi panduan dan motivasi kepada pelajar dalam membuat persediaan menghadapi peperiksaan serta merancang hala tuju pendidikan ke peringkat lebih tinggi.
Dalam perkongsiannya, beliau menekankan kepentingan membina pemikiran positif, disiplin diri dan sikap tidak mudah berputus asa untuk mencapai kejayaan.

Beliau turut menggalakkan pelajar mengurus masa dengan baik, menghormati ibu bapa dan guru serta memanfaatkan teknologi seperti kecerdasan buatan (AI) sebagai alat bantu pembelajaran.

Selain daripada iti, turut diingatkan supaya memilih rakan yang mempunyai matlamat yang sama, bekerjasama dalam pembelajaran dan memilih program pengajian berdasarkan minat serta pencapaian akademik.

Menurutnya, kejayaan turut bergantung pada kemahiran komunikasi, kerja berpasukan dan kebolehan menyelesaikan masalah.

Sementara itu, Ketua Penyelaras PPTE USM, Puan Sharifah Che Hassan, menegaskan bahawa pengajian Tingkatan Enam merupakan fasa penting untuk membina kematangan berfikir, disiplin dan daya tahan sebelum melangkah ke peringkat ijazah.

Beliau turut mengingatkan pelajar supaya menetapkan hala tuju yang jelas, berbincang dengan ibu bapa tentang pilihan pendidikan serta menjaga adab dengan guru dan rakan.

Pelajar juga digalakkan untuk berani bertanya, menghargai ilmu dan merebut peluang yang tersedia bagi mencapai cita-cita.

Dalam majlis yang sama, Ketua Penolong Pendaftar Pejabat Pengarah KKTSS, Mohd Kamil Ashar, berkongsi pengalaman perjalanan hidup dan kerjayanya sebagai dorongan kepada pelajar untuk terus berusaha walaupun berdepan kekangan kewangan atau cabaran hidup.

Beliau menegaskan bahawa laluan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) bukanlah pilihan kelas kedua, sebaliknya mampu membuka peluang untuk melanjutkan pengajian ke universiti dan membina kerjaya yang baik.

Beliau turut menyeru pelajar supaya membuktikan kemampuan melalui pencapaian akademik bagi memastikan program Tingkatan Enam di USM dapat terus diperkukuh.

Beliau turut menasihati pelajar agar memilih program pengajian berdasarkan minat ketika mengisi permohonan melalui UPU, memastikan semua dokumen lengkap dan permohonan dihantar dalam tempoh yang ditetapkan serta mendapatkan bantuan sekiranya menghadapi kesukaran.

Program ini diharapkan dapat membantu pelajar Tingkatan Enam menetapkan matlamat yang lebih jelas, meningkatkan keyakinan diri dan membuat persediaan yang lebih baik untuk melanjutkan pengajian ke peringkat pendidikan tinggi.

Teks: Nor Hidayati Binti Zolkornain/Teks: Muhammad Taufik Abdul Rahman