WMHD 3.0 USM TINGKAT KESEDARAN KESIHATAN MENTAL MELALUI PELBAGAI AKTIVITI INTERAKTIF

NIBONG TEBAL, 28 Oktober 2026 - Universiti Sains Malaysia (USM) melalui Kampus Kejuruteraan Tuanku Syed Sirajuddin (KKTSS) meneruskan usaha meningkatkan kesedaran tentang kepentingan kesihatan mental menerusi penganjuran World Mental Health Day (WMHD) 3.0, bersempena dengan Bulan Kesihatan Mental Sedunia.
Memasuki edisi ketiga penganjurannya, program ini menghimpunkan pelbagai aktiviti berbentuk pendidikan, kesihatan, rekreasi dan interaksi sosial bagi memberi pendedahan kepada warga kampus, khususnya pelajar, tentang kepentingan memahami dan menjaga kesejahteraan mental.
Selain daripada itu, program ini turut menampilkan pameran kesihatan mental, pemeriksaan kesihatan dan pergigian, kempen derma darah serta sesi perkongsian kesedaran oleh pihak Yakult.


Mewakili Pengarah Kampus, Ketua Unit Pusat Sejahtera USM KKTSS, Dr. Suriani Ismail, berharap penganjuran program seumpama ini dapat meningkatkan kesedaran warga kampus tentang kepentingan menjaga kesihatan mental sambil menggalakkan mereka mengambil langkah proaktif dalam memelihara kesejahteraan diri.
Beliau berkata, WMHD 3.0 turut mencerminkan komitmen USM dalam menyokong Matlamat Pembangunan Mampan (SDG), khususnya SDG 3: Kesihatan Baik dan Kesejahteraan, SDG 4: Pendidikan Berkualiti serta SDG 16: Keamanan, Keadilan dan Institusi yang Kukuh.
Sementara itu, Pengerusi Pelitawanis Pulau Pinang, Siti Safinaz Kamaruddin, berharap sumbangan dan sokongan yang diberikan dapat memberi manfaat kepada para pelajar serta membantu menjayakan penganjuran program berimpak tinggi pada masa hadapan.
Pengarah Program merangkap Yang di-Pertua Mentor Rakan Siswa (MRS), Muhamad Aliff Najmi Adenan, berharap program ini dapat meningkatkan pengetahuan dan kesedaran peserta tentang kepentingan mengamalkan gaya hidup sihat, mengenali keadaan diri serta mengambil berat terhadap kesejahteraan orang lain.
Beliau turut berharap program ini dapat memupuk empati, mengurangkan stigma berkaitan kesihatan mental dan menggalakkan individu mendapatkan bantuan apabila diperlukan.
Turut hadir ialah Pegawai Perubatan Pejabat Kesihatan Daerah Seberang Perai Selatan, Dr. Mazzan Md Issa @ Mat Desa, serta Penasihat Sekretariat MRS merangkap Kaunselor KKTSS, Norzita Nanyan.
Teks dan Foto: Ihsan Sekretariat MRS