Skip to main content

PEJABAT PENGARAH KKTSS TERUSKAN INISIATIF BANNER TO BAG, 150 BEG KELESTARIAN DISERAHKAN KEPADA PKTAAB

BERTAM, 3 November 2026 – Pejabat Pengarah Kampus Kejuruteraan Tuanku Syed Sirajuddin (KKTSS) Universiti Sains Malaysia (USM) meneruskan usaha menggalakkan amalan kelestarian dan ekonomi kitaran menerusi Inisiatif Banner to Bag (B2B) Fasa 3 dengan penyerahan sebanyak 150 beg kelestarian kepada Pusat Kanser Tun Abdullah Ahmad Badawi (PKTAAB), hari ini.

Pengarah KKTSS, Profesor Ir. Dr. Mariatti Jaafar @ Mustapha, berkata inisiatif B2B merupakan usaha mengguna semula banner terpakai daripada aktiviti kampus dengan menukarkannya kepada beg yang boleh digunakan pakai, sekali gus mengurangkan pembuangan sisa.

Menurut beliau, inisiatif yang bermula pada 1 Mac 2026 itu berjaya mengumpulkan kira-kira 100 kilogram banner terpakai untuk dikitar guna menjadi beg kelestarian.

“Dengan sokongan geran kelestarian berjumlah RM1,000 bagi pembelian peralatan jahitan, staf Pejabat Pengarah KKTSS berganding bahu menghasilkan sebanyak 1,500 beg kelestarian setakat ini,” katanya.

Mariatti menjelaskan bahawa idea tersebut tercetus susulan keperluan menyediakan alternatif kepada beg plastik apabila klinik kesihatan tidak lagi membekalkan beg plastik kepada pesakit.

Menurut beliau, penghasilan beg kelestarian ini bukan sahaja memberikan nilai baharu kepada bahan terpakai, malah dapat dimanfaatkan oleh komuniti.

Beliau berkata, pelaksanaan inisiatif B2B dilaksanakan secara berperingkat, dengan Fasa 1 pada 17 Ogos 2026 menyaksikan penyerahan 320 beg kepada lima agensi dan klinik kesihatan di Pulau Pinang, Perak dan Kedah.

Fasa 2 pula pada 14 Oktober 2026 melibatkan penyerahan 300 beg kepada Pusat Sejahtera Kampus Induk USM serta 30 beg sempena Sambutan Siswa 2026/2027.

Dalam ucapannya, Mariatti turut berkongsi perancangan untuk meneruskan inisiatif berkenaan ke Fasa 4 dengan memperluas penyerahan beg kelestarian ke Kampus Kesihatan USM di Kelantan, yang dicadangkan berlangsung pada 13 Disember 2026.

Beliau berharap inisiatif tersebut dapat diperluas dengan penglibatan lebih banyak Pusat Tanggungjawab (PTJ) bagi menyokong usaha mengurangkan sisa serta menggalakkan amalan guna semula bahan dalam aktiviti universiti.

Sementara itu, Pengarah PKTAAB USM, Profesor Madya Dr. Bakiah Shaharuddin, menyambut baik inisiatif tersebut dan merakamkan penghargaan atas sumbangan beg kelestarian berkenaan.

Beliau berkata, PKTAAB sentiasa menyokong agenda kelestarian universiti dan bersedia berkongsi amalan terbaik yang dilaksanakan dengan PTJ lain.

Menurutnya, cabaran sebenar bagi sesuatu inisiatif kelestarian bukan sekadar mencetuskan idea, tetapi memastikan pelaksanaannya dapat diteruskan secara konsisten.

Beliau turut menghargai usaha KKTSS yang berjaya mengekalkan pelaksanaan projek B2B sehingga ke fasa ketiga, sekali gus menunjukkan komitmen berterusan dalam menjayakan inisiatif berasaskan kelestarian.

Dalam pada itu, Ketua Penolong Pendaftar Pejabat Pengarah KKTSS, Mohd Kamil Ashar, berkata projek B2B merupakan sebahagian dari inisiatif kelestarian yang digerakkan oleh Pejabat Pengarah KKTSS USM.

Beliau turut memaklumkan bahawa pihaknya sedang dalam perangcangan untuk memperkenalkan logo rasmi Pejabat Pengarah bagi tujuan penjenamaan beg kelestarian serta produk inovasi hijau yang bakal dihasilkan pada masa hadapan.

Teks: Siti Faizah Abd Halim/Foto: Muhammad Taufik Abdul Rahman