Skip to main content

YEEP HIMPUNKAN 95 PELAJAR TIGA SEKOLAH, SUNTIK MINAT TERHADAP SAINS DAN KEJURUTERAAN

NIBONG TEBAL, 4 November 2026 - Seramai 95 pelajar Tingkatan Tiga daripada tiga buah sekolah sekitar Pulau Pinang dan Perak menyertai Young Engineers Explorers Program (YEEP) anjuran Bahagian Jaringan Industri dan Masyarakat (BJIM), Universiti Sains Malaysia (USM) hari ini.

Program yang dilaksanakan atas mandat Jabatan Pendidikan Tinggi (JPT) kepada USM itu melibatkan pelajar dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Nibong, SMK Seri Perak dan Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) Transkrian.

Program yang berlangsung di Kampus Kejuruteraan Tuanku Syed Sirajuddin (KKTSS) USM itu bertujuan memperkenalkan bidang sains dan kejuruteraan kepada pelajar sekolah, termasuk peluang melanjutkan pengajian serta prospek kerjaya dalam bidang berkenaan.

Penganjurannya mencerminkan komitmen USM dalam menyokong agenda Jabatan Pendidikan Tinggi (JPT) untuk memperluas jangkauan pendidikan tinggi kepada pelajar sekolah, sekali gus membina minat dan kesedaran terhadap bidang sains dan kejuruteraan sejak peringkat awal.

Pengarah KKTSS USM, Profesor Ir. Dr. Mariatti Jaafar @ Mustapha, dalam sesi perkongsian bersama peserta memberikan pendedahan mengenai peluang pendidikan dan prospek kerjaya dalam bidang kejuruteraan, selain menggalakkan pelajar mengenali potensi diri serta meneroka bidang yang diminati.

Turut menyampaikan ucapan ialah Pengarah Jaringan Industri, BJIM USM, Profesor Madya Ts. Dr. Wan Maryam Wan Ahmad Kamil yang menekankan hubungan saling melengkapi antara bidang sains dan kejuruteraan, dengan ilmu sains menjadi asas penting kepada pembangunan teknologi dan penyelesaian kejuruteraan.

Beliau turut menggalakkan para peserta memanfaatkan peluang sepanjang program untuk berinteraksi secara langsung dengan pensyarah serta mendapatkan gambaran lebih dekat mengenai bidang pengajian dan penyelidikan di universiti.

Pengisian utama YEEP diteruskan menerusi lawatan makmal interaktif di tiga pusat pengajian KKTSS, iaitu Pusat Pengajian Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik, Pusat Pengajian Kejuruteraan Bahan dan Sumber Mineral serta Pusat Pengajian Kejuruteraan Kimia.

Teks: Siti Faizah Abd Halim/Foto: Muhammad Taufik Abdul Rahman