Skip to main content

KKTSS USM PERLUAS PROMOSI PROGRAM PENGAJIAN MENERUSI CIIE 2026

PULAU PINANG, 5 November 2026 - Kampus Kejuruteraan Tuanku Syed Sirajuddin (KKTSS), Universiti Sains Malaysia (USM) memperluas promosi program pengajiannya menerusi penyertaan dalam Collaborative Institution-Industry Exchange (CIIE) 2026 anjuran Pejabat HRD Corp Pulau Pinang di Penang Skills Development Centre (PSDC).

Penyertaan KKTSS dalam program tersebut turut melibatkan Pengarah KKTSS USM, Profesor Ir. Dr. Mariatti Jaafar @ Mustapha, yang dijemput sebagai panel penceramah bagi forum bertajuk "Strengthening SKM Certification and Educational Qualification through Industry-Institution-Government Collaboration".

Forum tersebut membincangkan kepentingan kerjasama antara institusi pendidikan, industri dan kerajaan dalam mengintegrasikan kelayakan akademik dengan pensijilan kemahiran bagi memenuhi keperluan tenaga kerja masa hadapan.

KKTSS turut membuka kaunter pameran sepanjang program bagi mempromosikan penawaran program pengajian peringkat Sarjana serta laluan Pengakreditan Pembelajaran Berasaskan Pengalaman Terdahulu (APEL) kepada pengunjung.

Antara yang diketengahkan ialah program pengajian peringkat Sarjana serta laluan Pengakreditan Pembelajaran Berasaskan Pengalaman Terdahulu (APEL) yang membolehkan golongan profesional dan pekerja industri memperoleh pengiktirafan akademik berdasarkan pengalaman kerja dan pembelajaran terdahulu.

Penyertaan ini menjadi platform bagi KKTSS memperluas hebahan mengenai peluang pengajian yang ditawarkan, di samping mengukuhkan hubungan dengan pihak industri dalam menyokong pembelajaran sepanjang hayat dan pembangunan kompetensi tenaga kerja.

Teks: Siti Faizah Abd Halim/Foto: Muhammad Taufik Abdul Rahman