USM, XMUT PERKUKUH KERJASAMA AKADEMIK MENERUSI INOVASI AI DAN PENYELIDIKAN

NIBONG TEBAL, 5 November 2026 - Universiti Sains Malaysia (USM) menerusi Pusat Pengajian Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik (PPKEE) terus memperkukuh kerjasama akademik antarabangsa dengan Xiamen University of Technology (XMUT), China, melalui program kunjungan akademik yang memberi tumpuan kepada inovasi kecerdasan buatan (AI), kolaborasi penyelidikan dan pembangunan pengajian pascasiswazah.
Program dimulakan dengan ucapan oleh Dekan PPKEE, Profesor Ir. Ts. Dr. Shahrel Azmin Sundi @ Suandi, yang menekankan kepentingan kerjasama antarabangsa dalam meningkatkan kecemerlangan akademik, memperluas keupayaan penyelidikan dan menggalakkan perkongsian ilmu pada peringkat global.
Naib Presiden XMUT, Profesor Zen Huanqing dalam ucapannya pula menegaskan bahawa kerjasama antara institusi penting dalam memacu inovasi penyelidikan serta membuka peluang akademik yang memberi manfaat bersama kepada kedua-dua universiti.
Antara pengisian utama program ialah pelancaran rasmi Makmal Kecerdasan Buatan (AI) yang menjadi satu langkah penting dalam memperluas keupayaan penyelidikan dan inovasi teknologi melalui kerjasama kedua-dua institusi.
Program turut menampilkan sesi perkongsian ilmu berkaitan AI oleh Profesor Dr. Jian Qing Zhu, Timbalan Dekan College of Engineering, XMUT, bertajuk “Reliable Visual Recognition in Complex Scenarios: Bias Mitigation, Efficient Computing, and Cross-Modal Alignment”.


Sesi tersebut membincangkan perkembangan semasa dalam bidang AI, khususnya cabaran pengecaman visual, pengurangan bias, kecekapan pengkomputeran dan penyelarasan silang modal. Perkongsian itu turut membuka ruang kepada penyelidik kedua-dua universiti untuk bertukar pandangan serta meneroka potensi kerjasama penyelidikan.
Satu lagi komponen penting ialah inisiatif kolaborasi penyelidikan pelajar yang memberi tumpuan kepada pengukuhan penyelidikan pascasiswazah melalui penyeliaan bersama dan kerjasama akademik antara USM dengan XMUT.
Inisiatif tersebut turut diperkukuh menerusi penyampaian Surat Pelantikan sebagai Penyelia Bersama XMUT kepada Profesor Zen Huanqing, sekali gus memformalkan peranan beliau dalam menyokong penyeliaan penyelidikan pascasiswazah dan mempererat hubungan akademik antara kedua-dua universiti.
Kunjungan akademik itu mencerminkan komitmen bersama USM dan XMUT untuk membangunkan kerjasama antarabangsa yang mampan berteraskan kecemerlangan penyelidikan, perkongsian ilmu dan pembangunan akademik pascasiswazah.
Melalui pelaksanaan inisiatif akademik bersama, penyeliaan penyelidikan pascasiswazah dan kemudahan penyelidikan kolaboratif, kedua-dua universiti berhasrat memperluas jaringan penyelidikan antarabangsa, menggalakkan inovasi teknologi serta membuka lebih banyak peluang pembangunan akademik.
Kerjasama ini turut menyokong usaha berterusan USM untuk memperkukuh kedudukan akademiknya di peringkat antarabangsa serta menyumbang kepada kemajuan pendidikan tinggi, penyelidikan dan inovasi.
Teks dan Foto: Sumbangan Pusat Pengajian Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik