Skip to main content

KKTSS USM JADI LOKASI MAJLIS TILAWAH, HAFAZAN AL-QURAN DAN NASYID PERINGKAT NEGERI PULAU PINANG Tahun 1448H/2026M

NIBONG TEBAL, 11 November 2026 - Pendekatan tadabbur Al-Quran perlu diberi penekanan dalam membentuk masyarakat berilmu dan berakhlak, khususnya ketika berdepan perkembangan pesat kecerdasan buatan (AI) dan teknologi yang semakin mempengaruhi kehidupan manusia.

Perkara itu ditegaskan oleh Timbalan Ketua Menteri I Pulau Pinang, Dato' Dr. Mohamad Abdul Hamid ketika merasmikan Majlis Tilawah, Hafazan Al-Quran dan Nasyid Peringkat Negeri Pulau Pinang Tahun 1448H/2026M yang berlangsung di Kampus Kejuruteraan Tuanku Syed Sirajuddin (KKTSS), Universiti Sains Malaysia (USM).

Beliau berkata, penghayatan Al-Quran tidak seharusnya terbatas kepada keindahan bacaan dan hafazan semata-mata, sebaliknya perlu disertai usaha memahami mesej dan panduannya untuk diterjemahkan dalam kehidupan seharian, keluarga serta masyarakat.

Menurutnya, kemajuan teknologi dan kecemerlangan akademik perlu bergerak seiring dengan pembentukan adab, kejujuran, amanah dan akhlak supaya pembangunan ilmu terus berlandaskan nilai kemanusiaan.

“Apakah gunanya kemajuan teknologi jika manusia semakin kehilangan adab, dan apakah ertinya kecemerlangan akademik jika ilmu tidak membentuk kejujuran dan amanah? Di sinilah pentingnya kita kembali kepada pendidikan Al-Quran yang membina kefahaman, akhlak dan tanggungjawab,” katanya.

Penganjuran oleh Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Pulau Pinang (JHEAIPP) itu turut dihadiri Pengarah KKTSS, Profesor Ir. Dr. Mariatti Jaafar @ Mustapha, bersama pegawai kerajaan negeri dan wakil agensi berkaitan.

Penganjuran di KKTSS menghimpunkan peserta, warga universiti dan masyarakat setempat dalam sebuah program keagamaan peringkat negeri, sekali gus memperlihatkan kampus sebagai ruang yang turut menyokong pelaksanaan aktiviti ilmu, kerohanian dan kemasyarakatan di luar kegiatan akademik.

Majlis yang bertemakan “Madani Dihayati, Ummah Diberkati” itu menyaksikan penyertaan 26 peserta dalam kategori tilawah dan hafazan Al-Quran serta enam kumpulan bagi pertandingan nasyid.

Pertandingan nasyid turut menjadi sebahagian daripada penganjuran program tersebut untuk tahun kedua berturut-turut.

Penganjuran itu juga menyokong Agenda Pembangunan Agama Islam Negeri Pulau Pinang 2030 (API 2030), yang merangkumi lima teras utama iaitu pembangunan sosioekonomi, pendidikan, keluarga, anak muda serta dakwah dan tarbiah.

Teks: Siti Faizah Abd Halim/Foto: Muhammad Taufik Abdul Rahman