PTJ KKTSS USM RAIH PELBAGAI PENGIKTIRAFAN DALAM ANUGERAH KELESTARIAN DAN KKP 2026

USM, PULAU PINANG, 11 November 2026 - Beberapa Pusat Tanggungjawab (PTJ) Kampus Kejuruteraan Tuanku Syed Sirajuddin (KKTSS), Universiti Sains Malaysia (USM) menerima pengiktirafan menerusi Anugerah Penarafan Pejabat Hijau dan Pengurusan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (KKP) USM 2026 yang berlangsung di universiti itu.
Dalam kategori Anugerah Kecemerlangan Penarafan Pengurusan KKP, enam PTJ KKTSS menerima pengiktirafan, iaitu Jabatan Bendahari, Jabatan Pembangunan dan Pengurusan Fasiliti, Pejabat Pengarah Kampus, Pusat Penyelidikan Sains dan Kejuruteraan (SERC), Perpustakaan Musa Mohammad serta Pusat Swakreditasi Kejuruteraan.
Selain itu, Pusat Pengajian Kejuruteraan Kimia dan Unit Kesihatan KKTSS masing-masing menerima anugerah saguhati, manakala Jabatan Pendaftar Kejuruteraan memperoleh tempat ketiga dalam kategori berkenaan.
Bagi Anugerah Penarafan Pejabat Hijau USM 2026 pula, Perpustakaan Musa Mohammad dan Pusat Pengajian Kejuruteraan Awam masing-masing menerima hadiah saguhati sebagai pengiktirafan terhadap pelaksanaan amalan kelestarian di PTJ.


Naib Canselor USM, Dato' Seri Ir. Dr. Abdul Rahman Mohamed ketika merasmikan majlis tersebut berkata, kelestarian universiti tidak seharusnya diukur berdasarkan pencapaian penarafan atau penjagaan persekitaran fizikal semata-mata, sebaliknya perlu diterjemahkan kepada kesejahteraan masyarakat, keselamatan warga universiti dan peningkatan kualiti hidup.
Beliau turut menekankan kepentingan memperkukuh amalan keselamatan dan kesihatan pekerjaan bagi mencapai sasaran sifar kemalangan (zero accident) dan sifar kecederaan (zero casualty) di seluruh kampus.
Majlis itu turut menyaksikan peluncuran USM 5-Year Sustainability Transformation Plan 2026-2030.
Sementara itu, Timbalan Naib Canselor (Jaringan Industri dan Masyarakat), Profesor Dato' Dr. Azlan Amran berkata, penyertaan dalam Penarafan Pejabat Hijau meningkat daripada 95 PTJ pada 2024 kepada 120 PTJ pada 2025 dan 124 PTJ pada tahun ini.


Menurut beliau, peratusan PTJ yang memperoleh penarafan 5 Daun turut meningkat daripada 53.7 peratus pada 2024 kepada 86.3 peratus pada 2026, sekali gus menyumbang kepada kedudukan USM di tempat kelima dunia dalam THE Impact Rankings 2026.
Beliau turut memaklumkan bahawa penilaian KKP diperkenalkan secara khusus pada tahun ini, dengan 18 daripada 111 PTJ yang dinilai berjaya menerima Anugerah Kecemerlangan KKP. SEDA Malaysia turut menaja hadiah utama bernilai RM10,000 bagi Penarafan Pejabat Hijau USM 2026.
Majlis anjuran Bahagian Jaringan Industri dan Masyarakat (BJIM) itu merupakan acara tahunan universiti bagi mengiktiraf komitmen warga USM terhadap amalan kelestarian serta pengurusan keselamatan dan kesihatan pekerjaan.
Text: Siti Faizah Abd Halim/Photo: Muhammad Taufik Abdul Rahman