SOUTUL MUHANDISEEN USM RAIH NAIB JUARA NASYID PERINGKAT NEGERI PULAU PINANG 2026

NIBONG TEBAL, 13 November 2026 - Kumpulan nasyid Soutul muhandiseen (the voice of engineers) yang mewakili Universiti Sains Malaysia (USM) meraih naib juara kategori nasyid pada Majlis Tilawah, Hafazan Al-Quran dan Nasyid Peringkat Negeri Pulau Pinang Tahun 1448H/2026M.
Kumpulan berkenaan memperoleh 69 peratus markah dalam pertandingan yang berlangsung pada 11 dan 12 November 2026 di Dewan Utama,a Kampus Kejuruteraan Tuanku Syed Sirajuddin (KKTSS), baru-baru ini.
Kumpulan Shoutul Muhandisin dianggotai Muhammad Yazid Mat Johari, Waris Badrin Silmi, Muhammad Solehuddin Mohamed Ismail, Afiq Aswan Asmadi, Amirul Asyraf Noor Ahmad Affandi dan Ahmad Dzul Alif Rosli, terdiri daripada staf dan pelajar KKTSS.




Majlis penutupan dan penyampaian hadiah turut dihadiri Naib Canselor USM, Profesor Dato' Seri Ir. Dr. Abdul Rahman Mohamed dan Pengarah Kampus Kejuruteraan USM, Profesor Ir. Dr. Mariatti Jaafar @ Mustapha.
Keputusan pertandingan diumumkan oleh Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Pulau Pinang merangkap Pengerusi Jemaah Hakim, Mohamad Hafiz Aswad Nazri, manakala hadiah kepada para pemenang disampaikan oleh Yang di-Pertua Negeri Pulau Pinang, Tun Datuk Seri Utama Haji Ramli Ngah Talib bersama Yang Mulia Toh Puan Raja Datuk Seri Utama Noora Ashikin Raja Abdullah.
Menurut ulasan jemaah hakim, kumpulan yang bertanding memperlihatkan kreativiti melalui kesepaduan vokal dan iringan muzik yang mantap. Bagaimanapun, aspek sebutan bahasa Arab dan kawalan ton suara perlu terus dipertingkatkan bagi meningkatkan mutu persembahan.




Tempat pertama dimenangi Kumpulan Insirah dari Pejabat Polis Kontinjen Pulau Pinang dengan 79 peratus markah, manakala Kumpulan Saatul Falah dari Penjara Seberang Perai menduduki tempat ketiga dengan 64 peratus markah. Pertandingan itu menyaksikan penyertaan empat kumpulan nasyid daripada pelbagai agensi.
Secara keseluruhan, pertandingan tahun ini melibatkan enam peserta tilawah, 20 peserta hafazan dan empat kumpulan nasyid yang diadili oleh 23 orang hakim, termasuk empat hakim khas bagi kategori nasyid.
Teks: Siti Faizah Abd Halim/Foto: Muhammad Taufik Abdul Rahman