PASUKAN USM LAYAK KE PENTAS AKHIR GEO ASIA PASIFIK MENERUSI INOVASI TRIGRID

SUBANG JAYA, 12 November 2026 - Pasukan Unlimited 4G dari Kampus Kejuruteraan Tuanku Syed Sirajuddin (KKTSS), Universiti Sains Malaysia (USM) bakal mewakili Malaysia ke Peringkat Akhir Geo Asia Pasifik selepas muncul antara dua pasukan terbaik negara dalam Pertandingan Inovasi AAKRUTI 2026.
Kejayaan itu menyaksikan pasukan berkenaan layak ke peringkat akhir serantau yang dijadualkan berlangsung pada awal Disember ini. Jika berjaya, mereka berpeluang melangkah ke Grand Finale di Amerika Syarikat pada Februari 2027.
Pertandingan yang dianjurkan oleh SolidWorks 3DEXPERIENCE menerusi IME Technology Sdn. Bhd. itu merupakan platform pertandingan reka bentuk produk berasaskan kejuruteraan yang menghimpunkan bakat inovasi dari seluruh dunia.
Dalam pertandingan peringkat kebangsaan yang berlangsung sejak April lalu, dua pasukan USM berjaya menempatkan diri dalam kelompok 10 finalis terbaik Malaysia, sekali gus memperlihatkan keupayaan pelajar universiti itu dalam menghasilkan penyelesaian reka bentuk berasaskan keperluan masyarakat.
Pasukan Unlimited 4G mempertaruhkan inovasi bertajuk “TriGrid”, iaitu sistem perlindungan saliran berperingkat yang dibangunkan berdasarkan tema “Masalah Komuniti Tempatan”. Reka bentuk tersebut menggunakan teknologi reka bentuk berbantukan komputer (CAD) dengan penerapan elemen Matlamat Pembangunan Mampan (SDG).


Pasukan itu dianggotai Kam Shin Yen, Lou Yi Xuan dan Tang Xin Jie dari Pusat Pengajian Kejuruteraan Mekanik serta Tan Qien Qien dari Pusat Pengajian Kejuruteraan Kimia. Mereka dibimbing oleh Profesor Madya Dr. Mohd Salman Abu Mansor dari Pusat Pengajian Kejuruteraan Mekanik.
Sementara itu, sebuah lagi pasukan USM, Rekasari Apex, turut tersenarai dalam kelompok 10 finalis terbaik kebangsaan menerusi inovasi “KINE-MOLD”, iaitu mesin penekan mekanikal yang memampatkan daun pisang untuk menghasilkan bekas makanan.
Pasukan Rekasari Apex terdiri daripada Mior Ahmad Zaim bin Mior Ahmad Nizam, Farhan Syauqi bin Muhammad Zain, Ahmad Faris bin Mohd Nizam dan Muhammad Iman bin Muhammad Izwan. Pasukan itu turut dibimbing oleh Profesor Madya Dr. Mohd Salman Abu Mansor.
Pencapaian kedua-dua pasukan tersebut mencerminkan keupayaan pelajar USM mengaplikasikan pengetahuan kejuruteraan dan reka bentuk dalam menghasilkan inovasi yang mengambil kira keperluan masyarakat serta aspek kelestarian.
Teks: Profesor Madya Dr. Mohd Salman Abu Mansor
Foto: Pasukan Unlimited 4G , SOLIDWORKS Malaysia - IME Authorized Reseller dan Rekasari Apex / Muhammad Zul Hafiz Zuraidi dan Muhammad Ahnaf Alias