Skip to main content

WARGA KAMPUS KEJURUTERAAN TUANKU SYED SIRAJUDDIN USM SERTAI FESTIVAL OF IDEAS 2026

PUTRAJAYA, 20 November 2026 – Seramai 63 warga Kampus Kejuruteraan Tuanku Syed Sirajuddin (KKTSS), Universiti Sains Malaysia (USM), yang terdiri daripada 23 orang staf dan 40 mahasiswa telah menyertai Festival of Ideas (FOI) Putrajaya 2026.

Festival tersebut berlangsung selama tiga hari, iaitu dari 17 hingga 19 November lalu di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC).

Turut hadir ialah Pengarah Kampus KKTSS, Profesor Ir. Dr. Mariatti Jaafar @ Mustapha.

 

Bertemakan “Reimagined Malaysia: Advancing Technology, Elevating Humanity”, festival ini menghimpunkan institusi pendidikan tinggi, penyelidik, pemain industri dan masyarakat.

Selain itu, festival ini turut menjadi platform untuk berkongsi idea serta membincangkan penyelesaian terhadap cabaran semasa di peringkat nasional dan global.

Melalui penyertaan ini, warga KKTSS berpeluang mengikuti perkongsian ilmu serta meneroka perspektif baharu.

Mereka turut mendapat pendedahan terhadap perkembangan terkini dalam bidang teknologi, penyelidikan dan inovasi.

 

Di samping itu, penglibatan mahasiswa dalam program ini membantu mengembangkan pemikiran kritis dan meluaskan pengetahuan di luar bidang pengajian.

Mahasiswa juga berpeluang memahami kepentingan aplikasi ilmu dan teknologi dalam pembangunan masyarakat.

Penglibatan ini mencerminkan komitmen KKTSS dalam menggalakkan penyertaan warga kampus menerusi program berteraskan ilmu, penyelidikan dan inovasi.

Usaha ini selaras dengan aspirasi universiti untuk melahirkan graduan yang berpengetahuan serta berdaya saing.