Skip to main content

MINDANAO STATE UNIVERSITY BERMINAT JALIN KERJASAMA

Mindanao SU DSC2666

NIBONG TEBAL, 3 Mac 2016 – Penolong Naib Canselor, Kampus Kejuruteraan, Universiti Sains Malaysia (USM), Profesor Dr. Ahmad Farhan Mohd Sadullah menerima kunjungan hormat delegasi dari Mindanao State University-Iligan Institute of Tech (MSU) yang diketuai oleh Canselornya sendiri, Dr. Sukarno Tanggol di Bilik Mesyuarat Pejabat Pengarah Kampus Kejuruteraan di sini semalam.

Ahmad Farhan yang juga merupakan Dekan, Pusat Pengajian Kejuruteraan Awam berkata, USM menyambut baik hasrat delegasi seramai empat orang dari MSU ini untuk menjalin kerjasama dan berkongsi kekuatan dalam bidang kejuruteraan dan bidang-bidang lain di kedua-dua universiti.

"Kita amat mengalukan kerjasama antarabangsa seperti ini, apatah lagi dalam mengukuhkan hubungan baik dengan negara-negara ASEAN”, kata Ahmad Farhan.

Mindanao SU 0997

“Saya berharap lawatan ini tidak berakhir disini sahaja malah hubungan antara dua buah negara ini akan diperkukuhkan lagi melalui kerjasama dalam bidang pembelajaran dan penyelidikan dapat diusahakan bersama pada masa hadapan," katanya.

Dalam masa yang sama, Canselor MSU, Dr. Sukarno D. Tanggol berkata, beliau bersama delegasi, sangat gembira berada di sini dan menyatakan bahawa banyak perkara yang dipelajari dari Kampus Kejuruteraan.

“Saya fikir, kami sangat tertarik dengan Kampus Kejuruteraan, USM dari sudut persekitarannya, program yang ditawarkan dan pusat penyelidikan yang ada di sini dilihat begitu cemerlang”, jelasnya.

“Lawatan ini juga telah memberi peluang kepada kami untuk mengkaji semula sistem dan program yang ditawarkan di MSU untuk terus bertambah baik terutamanya dalam bidang kejuruteraan”, katanya lagi.

Beliau turut menyatakan hasrat iaitu bukan sahaja untuk melihat peluang kerjasama antara Pusat Pengajian Kejuruteraan USM dengan Fakulti Kejuruteraan di kolej mereka malahan juga dalam bidang sains.

Mindanao SU 1034

Delegasi terdiri daripada Naib Canselor (Penyelidikan & Pengembangan), Dr. Jinky B. Bornales, Naib Canselor (Akademik), Dr. Edgar W. Ignacio dan Naib Canselor (Perancangan & Pembangunan), Dr. Feliciano Alagao turut  dibawa melawat ke tapak Bioecods, Pusat Penyelidikan Kejuruteraan Sungai dan Saliran Bandar REDAC yang diketuai oleh Pegawai Penyelidik, Puan Khairul Rahmah Ayub.

Yang turut hadir dalam sesi lawatan ini ialah Dekan, Pusat Pengajian Kejuruteraan  Aeroangkasa, Profesor Dr. Mohd Zulkifly Abdullah, Dekan, Pusat Pengajian Kejuruteraan Kimia, Profesor Dr. Azlina Harun @ Kamaruddin dan Dekan, Pusat Pengajian Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik, Profesor Dr. Mohd Rizal Arshad.

Teks: Mohd Kamil Ashar / Foto: Bani Faidzzainami Baniyamin