SEMINAR KEJURUTERAAN MUSLIM BUKA MINDA
NIBONG TEBAL, 26 Februari 2016 – Seramai 60 peserta dari kalangan warga Kampus Kejuruteraan menghadiri seminar Seminar Kejuruteraan Muslim “Tokoh Ilmuan Tersohor” yang disampaikan oleh Pegawai Hal Ehwal Islam Kanan, Pusat Islam, Kampus Kejuruteraan, Ustaz Mohammad Shukri Osman di sini semalam.
Program anjuran Pusat Transformasi Insan (PTI), Universiti Sains Malaysia (USM) itu merupakan inisiatif universiti dalam melahirkan jurutera yang hebat dan warga kampus yang cemerlang dalam bidang yang diceburi.
Menurut Mohammad Shukri, seseorang jurutera bukan sahaja merupakan pengamal kejuruteraan malah mereka perlu mengambil berat mengenai penggunaan saintifik, matematik dan kebijaksanaan dalam penyelesaian masalah teknikal, sosial serta komersial.
Menerangkan mengenai amalan baik dalam bidang kejuruteraan, beliau mengambil contoh jurutera bahan reka bentuk, struktur dan sistem yang perlu mengambil kira beberapa perkara penting seperti praktikal, peraturan, keselamatan dan kos.
Tambahnya, hati memiliki dua pengertian iaitu fizik dan spiritual yang merupakan sesuatu yang halus, rabbaniyah (ketuhanan), ruhainiah (kerohanian) dan mempunyai keterkaitan dengan hati yang jasmaniah.
“Sesungguhnya dalam diri manusia itu ada seketul daging, jika daging itu baik, maka baiklah seluruh anggota badannya tetapi seandainya daging itu rosak dan kotor, maka kotor dan rosaklah seluruh anggota badannya, daging yang dimaksudkan adalah hati”, jelasnya lagi.
“Secara keseluruhannya, ilmu kejuruteraan boleh dijadikan amalan dan jariah yang berterusan walaupun sesudah mati”.
Mengakhiri ceramah, beliau berkata, jurutera terdahulu meninggalkan ilmu dan warisan kejuruteraan yang lestari hingga kini dan kejayaan yang sebenar seseorang manusia itu ialah masuk ke syurga Allah SWT dan selamat daripada azab api neraka.
Program tersebut bertujuan untuk memberikan pendedahan serta pengetahuan kepada semua warga kampus berkaitan ilmu kejuruteraan dalam perspektif Islam.
Teks: Norafiza Osman / Foto: Bani Faidzzainami Baniyamin