Skip to main content

USM DEKATI MASYARAKAT ORANG ASLI

 Jalong DSC4557

SUNGAI SIPUT, 26 Mac 2016 – Universiti Sains Malaysia (USM), melalui Jawatankuasa Maal Hijrah dan Maulidur Rasul, Pusat Islam Kampus Kejuruteraan turut memainkan peranan  mendidik  Orang Asli suku Kaum Temiar di Kampung Landap, Sungai Siput di sini.

Jalong DSC4539Program  dua hari itu merupakan kunjungan kali kedua pasukan yang menggelarkan mereka sebagai Team My Pusat Islam melibatkan staf dari pelbagai latarbelakang dan bidang yang berbeza-beza.

Menurut Pengarah Projek, Zabri Daud,  program tersebut bertujuan untuk berkongsi rezeki dan nikmat yang di berikan oleh Allah SWT selain  ingin bersaudara dan bersama-sama dengan penduduk asli  mengimarahkan surau yang baharu dibina.

“Kami sangat bersyukur dengan perubahan yang jelas ditunjukkan oleh masyarakat Orang Asli disini contohnya dari segi mengenakan pakaian yang menutup aurat dan semangat untuk mendalami ajaran Islam,"kata Zabri.

Tambahnya, antara pengisian pada program tersebut ialah solat berjemaah, tahlil, tazkirah pertandingan azan, wuduk dan bacaan solat, program gotong royong memasak, pemeriksaan kesihatan dan sukaneka ukhwah.

Jalong DSC4328

“Program sebegini tentunya dapat mendekatkan  warga universiti dalam pendidikan  yang berupaya menyumbang bakti kepada masyarakat”, jelasnya lagi.

Pengarah Pusat Islam, USM, Profesor Dato’ Dr. Muhammad Idiris Saleh yang hadir bersama isteri merasmikan pelancaran Tabung Dewan Ilmu untuk kegunaan masyarakat kampung berkata, dengan adanya program tersebut warga USM dapat melihat pelbagai bantuan yang lebih berkesan yang boleh diberikan.

Jalong DSC4335

“Masyarakat Orang Asli sudah maju dan ini telah terbukti dengan lahirnya ramai ilmuan serta cendiakawan dalam kalangan mereka," jelasnya.

Beliau berkata, selain dari itu usaha perlu diteruskan dengan memberi fokus kepada pencapaian pendidikan dengan membawa anak-anak masyarakat Orang Asli  untuk meneruskan pengajian ke peringkat universiti.

Jalong DSC4375

Sementara itu, pendakwah bebas, Wan Mas Indra Juja, 33, yang ditemui berasa gembira kerana program bersama komuniti Orang Asli itu sedikit sebanyak dapat menyedarkan mereka tentang cara hidup yang dituntut dalam Islam.

Jalong DSC4161Program bersama komuniti Orang Asli merupakan satu pendekatan baik yang boleh diambil yang menggabungkan pelbagai kepakaran untuk melibatkan diri dengan masyarakat di pedalaman," kata Naib Kadi bagi masyarakat Orang Asli yang bergama Islam di kawasan tersebut.

Beliau yang merupakan penduduk asal Kampung Landap berkata, masyarakat Orang Asli mempunyai potensi tinggi untuk berjaya dalam bidang pendidikan jika diberi didikan dan pendedahan yang berterusan.

Wan Mas Indra yang memeluk Islam ketika berusia 17 tahun turut menempuh pelbagai cabaran dan dugaan dalam menyampaikan dakwah kepada masyarakatnya sendiri.

Jalong DSC4398

“Bagi saya, tidak ada jalan mudah untuk berjaya selain daripada bersungguh-sungguh dalam menuntut ilmu," katanya yang mendapat pendidikan selama lima tahun di Institut Dakwah Islamiah Perkim (IDIP).

Yang hadir sama dalam majlis penutup program ialah Pengarah, Pusat Penyelidikan Kejuruteraan Sungai dan Saliran Bandar (REDAC) yang juga merupakan Pengerusi, Kelab Kebajukan dan Sukan Staf Kejuruteraan (KKSSK), Profesor Dr. Nor Azazi Zakaria, Timbalan Pengarah Pusat Islam, USM  Haji Md Yusof Abdul Rahim dan Pegawai Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA), Daerah Kuala Kangsar,  Che Maznah Mohd Yusof.

Teks: Mohd Kamil Ashar / Foto: Bani Faidzzainami Baniyamin