Skip to main content

MALAM AMAL DEEPAM 2016 KHAS BUAT MEREKA YANG MEMERLUKAN

Deepam DSC4738

NIBONG TEBAL, 27 Mac 2016 – Malam Amal Deepam 2016 anjuran Engineering Indian Cultural Club (EICC) disambut meriah dengan kehadiran 700 para tetamu bukan sahaja dalam kalangan pelajar malah masyarakat luar di sini semalam.

Menurut Pengarah Projek EICC, Sathiswaran Sangaran dalam ucapannya berkata, kejayaan majlis itu dicapai hasil daripada kerjasama pasukan dan penglibatan penyumbang serta sokongan masyarakat.

Deepam DSC4642

“Semua rakan-rakan yang terlibat telah melaksanakan tugas masing-masing dengan cemerlang dan semangat kerja berpasukan yang sangat tinggi”, katanya.

Sathiswaran dalam ucapannya turut mengambil kesempatan merakamkan ucapan terima kasih kepada semua penaja yang telah menyumbang dalam menjayakan majlis malam amal tersebut.

Sementara itu, Penasihat EICC, Profesor Madya Dr. Vel Murugan Vadivelu berkata, objektif utama program adalah untuk membantu pelajar yang kurang bernasib baik dan berasal dari keluarga yang kurang berkemampuan untuk melanjutkan pengajian.

Deepam DSC4656

Tambahnya lagi, program tahunan itu secara tidak langsung dapat menggalakkan penglibatan pelajar dalam aktiviti kebajikan serta mengeratkan hubungan silaturahim warga kampus dan masyarakat yang terdiri daripada pelbagai bangsa supaya tidak pupus ditelan zaman.

“Secara peribadi, saya sangat menyokong program sebegini diteruskan lagi pada masa hadapan kerana ia dapat membantu masyarakat yang memerlukan pertolongan dari segi pendidikan, kesihatan dan keperluan asas”, jelasnya lagi.

Deepam DSC4699

Antara persembahan yang dipersembahkan pada malam itu adalah tarian tradisional india dan pertunjukkan seni mempertahankan diri serta persembahan Bharatham, Silambam, Varuna Dancers, RKX Crew, PKI Dance dan Kollatham.

Para penonton turut dihiburkan dengan persembahan jemputan iaitu Adikarma dan Persatuan Bahasa Tiong Hua, Nibong Tebal Indian Classic Dance dan persembahan teater dari Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT), Kulim, Kedah.

Deepam DSC4609

Malam Amal Deepam yang masuk tahun ketiga perlaksanaannya diserikan lagi dengan kehadiran artis tempatan, Magendran Raman dan cabutan nombor bertuah serta pemberian cek sumbangan berjumlah RM2,000 kepada badan kebajikan iaitu House Of Hope yang terletak di Ayer Itam, Pulau Pinang, hasil perjualan tiket pada malam itu.  

Teks: Norafiza Osman / Foto: Muhammad Sarif Mhd. Rapiai