Skip to main content

GUNA KEPAKARAN KEJURUTERAAN LAHIRKAN MUKA BAHARU – NC

perutusan tahun VC 2017 1

NIBONG TEBAL, 15 Februari 2016 – Kampus Kejuruteraan Universiti Sains Malaysia (USM) disaran menggunapakai segala kepakaran sedia ada dalam melahirkan lebih ramai muka baharu dalam menghadapi persaingan dunia pengajian tinggi semasa.

 

Naib Canselor, Profesor Dato’ Dr. Asma Ismail dalam perutusan tahunan beliau di sini hari ini turut memuji serta berterima kasih kepada para saintis dan tenaga pengajar dari kampus ini yang telah membanggakan USM melalui kejayaan-kejayaan mereka di dalam bidang masing-masing sepanjang tahun 2016.

Selain itu, beliau turut menyarankan agar USM beredar seiring dengan teknologi terkini serta memperbanyakkan lagi penggunaan media baharu melalui medium-medium terkini seperti Twitter, Facebook dan Instagram untuk mendekati masyarakat dalam pelbagai peringkat umur.

perutusan tahun VC 2017 3

 “Sudah tiba masanya kita menggunakan pendekatan lebih kreatif dalam aspek yang pelbagai sejajar dengan status USM sebagai salah sebuah universiti peneraju di Malaysia,” katanya.

“Penghasilan penyelidikan yang berimpak maksima melalui kerjasama industri juga diharap mampu menjadi salah satu cabang dalam peningkatan kualiti USM pada tahun ini dan tahun-tahun akan datang,” tambah Asma.

Melalui perutusan kali ini yang bertajuk ‘Mengatasi Bersama Kesan Tsunami Globalisasi…Gaya USM’, Asma menekankan kepada tiga perkara utama iaitu sanjungan global, kelestarian kewangan dan indeks kegembiraan.

perutusan tahun VC 2017 2

Beliau turut menyatakan warga USM secara keseluruhan perlu bergerak menuju kearah tujuan yang lebih jelas untuk memastikan setiap tugasan walaupun mustahil dapat dicapai secara bersama.

“Ketidakstabilan dunia hari ini secara langsung akan memberikan impak yang besar, namun, saya yakin kita mampu menghadapi tsunami ini jika kita berfikir secara di luar kotak yang sedia ada,” kata Naib Canselor USM wanita pertama ini.

Yang turut hadir adalah suami kepada Naib Canselor, Dato’ Dr. Ahmad Zakaria; Timbalan Naib Canselor Akademik dan Antarabangsa, Prof. Dato’ Dr. Ahmad Shukri Mustapa Kamal; Timbalan Naib Canselor Jaringan Industri dan Masyarakat, Prof. Dr. Abdul Rahman Mohamed; Pendaftar, Prof. Dato’ Dr. Abd Aziz Tajuddin dan Pengarah Kampus Kejuruteraan, Prof. Dr. Ahmad Farhan Mohd Sadullah.

Teks: Siti Faizah Abd Halim / Foto: Bani Faidzzainami Baniyamin