SERAI WANGI SASAR KEJUARAAN KE-3!
Nibong Tebal, 4 Ogos 2017 – Kontinjen Serai Wangi dari Kampus Kejuruteraan Universiti Sains Malaysia (USM) mensasarkan sekali lagi Kejuaraan sempena dengan Hari Warga Staf (HWS) USM 2017.
Ini adalah untuk mengulangi kejayaan yang pernah dicapai pada HWS 2017 di mana Kontinjen ini yang sebelumnya dikenali sebagai Pipit Hutan telah berjaya menjadi juara pertandingan keseluruhan selama dua tahun berturut-turut.
Bakal berlangsung di Kampus Kesihatan, USM di Kota Bharu, Kelantan, HWS 2017 akan mempertandingkan Sembilan (9) acara seperti Boling, Larian Dalam Kampus, Treasure Hunt, Sukaneka, Tarik Tali, Duathlon, Master Chef dan Persembahan Lakonan Berkumpulan.
Ketua Kontinjen Serai Wangi, Profesor Dr. Azlina Binti Harun @ Kamaruddin, bercakap semasa Mesyuarat bersama Ahli Jawatankuasa yang telah dilantik mengalu-alukan penyertaan daripada seluruh warga kampus.
“Saya sedia maklum ramai daripada kakitangan kita di kampus ini adalah mereka yang aktif dan terlibat secara langsung di dalam aktiviti sukan.
“Oleh yang demikian, besar harapan saya untuk mereka ini menyertai kita dan seterusnya komited untuk menggenggam kejuaraan bersama buat kali yang ketiga berturut-turut,” kata beliau lagi.
HWS 2017 akan berlangsung pada 18 hingga 19 Ogos 2017 dengan anggaran penyertaan adalah seramai 2000 orang kakitangan yang terdiri daripada warga Kampus Kesihatan, Kampus Induk, Kampus Kejuruteraan dan Institut Perubatan Dan Pergigian Termaju (IPPT) USM.
Kontinjen lain yang akan turut sama menyertai HWS 2017 adalah Halia Bara (Kampus Induk), Duri Tujuh (IPPT) serta Kontinjen Misai Kucing dan Jarum Mas yang akan mewakili Kampus Kesihatan.