Skip to main content

SESIAPA SAHAJA MAMPU JADI PEMIMPIN! – PENGARAH KAMPUS

DSC 2068USM, PULAU PINANG, 7 Ogos 2017 – Memimpin dan menjadi seorang pemimpin itu adalah hak setiap individu dan bukan sekadar terhad kepada mereka yang sedang memegang tampuk pimpinan tertinggi sahaja.

Berikut adalah apa yang ditegaskan oleh Pengarah Kampus Kejuruteraan, Profesor Dr. Nor Azazi Zakaria ketika dijemput untuk mengendalikan Kursus Mengurus PTJ: Cabaran dan Strategi di sini hari ini.

“Apa yang penting adalah ciri-ciri kepimpinan yang perlu ada serta kemampuan individu tersebut dalam memberi inspirasi kepada orang sekeliling.

“Jika kita berjaya mendidik diri kita untuk dijadikan contoh kepada orang lain, tidak mustahil untuk kita cemerlang dalam apa jua bidang yang diceburi walau pun peranan yang diberikan adalah berbeza,” tambah Azazi.
DSC 2073
Di dalam kursus yang dikendalikan oleh Pusat Transformasi Insan (PTI) ini, Azazi telah berkongsi kepakaran dan pengalaman beliau selama lebih 23 tahun dalam bidang pentadbiran dengan mereka yang hadir.

Selain daripada itu, pengalaman beliau dalam menerajui kecemerlangan Pusat Penyelidikan Kejuruteraan Sungai dan Saliran Bandar (REDAC) turut dijadikan contoh dalam memotivasikan jabatan-jabatan lain untuk menjadi lebih baik di masa akan datang.

“Sebagai Pengarah, saya sentiasa memberi galakan kepada kakitangan dengan menekankan prinsip kepimpinan melalui teladan dan sentiasa menggalakkan setiap daripada mereka untuk menjaga hubungan dengan sesiapa sahaja di dalam universiti.

“Setiap tindakan kita sebagai ketua mencerminkan jabatan secara keseluruhan dan kakitangan akan sentiasa berpandukan kepada tindakan-tindakan kita untuk diikuti,” kata Azazi lagi.
DSC 2080
Malah, menjawab kepada persoalan akan kerenah birokrasi yang telah lama bersarang di dalam sistem jabatan di dalam universiti, Azazi menekan kepada keikhlasan dalam melaksanakan tugas dan seharusnya dijadikan sebagai salah satu ibadah dalam kehidupan.

“Permudahkan juga setiap pekerjaan kakitangan kita dengan membina satu sistem tugasan yang sistematik kerana apabila kita mempermudahkan urusan mereka, In Shaa Allah, akan dipermudahkan juga urusan kita oleh Allah swt,” kata beliau lagi.

Sepanjang penglibatan beliau selama lebih daripada 16 tahun di dalam bidang ini, Azazi telah berjaya membina rangkaian penyelidikan pelbagai institusi dari luar negara antaranya adalah HR Wallingford United Kingdom, Deltares, Delft, Indian Institute Roorkee serta yang terbaru adalah daripada International Association for Hydro-Environment Engineering and Research (IAHR) yang merupakan Persatuan Air terbesar di dunia.

Turut sama hadir ketika program berlangsung adalah Pengarah Pusat Transformasi Insan (PTI), Encik Mohamad Abdullah, Timbalan Pendaftar Pejabat Pendaftar Kampus Kejuruteraan, Puan Rohilatifah Binti Baharum @ Harun serta pegawai-pegawai utama dari Jabatan-jabatan di Kampus Induk dan Kampus Kejuruteraan .