Skip to main content

SYARAHAN UMUM PROFESOR – ISU DAN CABARAN PELAKSANAAN PENGURUSAN KUALITI UDARA

DSC 1098

NIBONG TEBAL, 22 Disember 2017 – Profesor Dr. Nor Azam Ramli melalui Siri Syarahan Umum Perlantikan Profesor telah mengupas akan isu dan cabaran dalam menyumbangkan pembangunan pengetahuan berkaitan kualiti udara di Malaysia di sini hari ini.

Menyingkap masalah pencemaran sebagai pembuka ceramah, beliau menyatakan bahawa salah satu daripada penyebab utama kepada pencemaran udara di Malaysia adalah melalui pembangunan yang di luar kawalan.

DSC 1086

“Permukaan jalan yang tidak berturap dan penerokaan tanah yang tidak terkawal ini akan menghasilkan lebih banyak debu dan dibawa angin ke tempat lain hingga seterusnya menggalakkan pencemaran udara di negara kita,” katanya.

Selain daripada kesan pencemaran yang sedang terjadi seperti jerebu serta Ribut Taufan Cylon, antara isu utama yang diperbincangkan dengan lebih terperinci adalah kesan dan bahaya ozon kepada manusia.

DSC 1127

“Apatah lagi, pencetus kebimbangan yang paling utama pada hari ini adalah dengan penghasilan ozon permukaan yang mula terjadi pada waktu malam memandangkan sebelum ini penghasilan berlaku pada waktu siang.

“Bahaya ozon di permukaan ini adalah ianya akan menjadi penyebab kepada kanser kepada mereka yang sering terdedah terhadapnya,” jelas beliau yang turut berharap agar undang-undang dalam meningkatkan kualiti udara bersih di Malaysia dapat dilaksanakan di masa akan datang.

DSC 1135

DSC 1149

Namun demikian, menurut Profesor Dr. Nor Azam, belum wujud perlaksanaan yang spesifik dan terperinci sedang dilakukan dalam mengatasi masalah ini di Malaysia dan beliau turut menyeru agar tanggapan masyarakat akan pencemaran dapat diubah di masa akan datang.

Menurut beliau, setiap keputusan dan tanggapan yang ingin dihasilkan haruslah disertakan dengan bukti-bukti saintifik dan tidak secara melulu dimana ianya akan mewujudkan lebih banyak ruang kepada permasalahan ini di kalangan masyarakat nanti.

DSC 1168

Turut hadir adalah Timbalan Naib Canselor Bahagian Hal Ehwal Akademik Dan Antarabangsa, Profesor Dr. Ahmad Farhan Bin Mohd Sadullah, Pengarah Kampus Kejuruteraan, Profesor Dr. Azazi Zakaria dan Dekan Pusat Pengajian Kejuruteraan Awam, Profesor Dr. Taksiah A. Majid.

Teks: Siti Faizah Abd halim / Muhammad Taufik Abdul Rahman