Skip to main content

LAWATAN: SEKOLAH RENDAH NURUL HIDAYAH KE KAMPUS KEJURUTERAAN

DSC 0390

NIBONG TEBAL, 4 Mei 2018 – Kampus Kejuruteraan Universiti Sains Malaysia (USM) melalui Pusat Pengajian Kejuruteraan Aeroangkasa (PPKAero) telah menerima kunjungan daripada Sekolah Rendah Nurul Hidayah (SRNH) Kulim, Kedah.

Menurut guru pengiring mereka, Nurul Farhana Mohd Nor, 31, lawatan ini merupakan acara tahunan sekolah berkenaan untuk pelajar tahun enam yang terpilih dalam memberikan motivasi kepada mereka untuk menduduki Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) nanti.

DSC 0408

DSC 0404

“Malah, lawatan ini merupakan susulan daripada aktiviti para pelajar ini yang baru selesai menjalani kem motivasi selama beberapa hari di salah sebuah kem yang berdekatan dengan kampus ini,” tambah beliau.

Seramai lebih kurang 120 orang murid dan guru yang terlibat dibawa melawat ke PPKAero yang mana mereka turut diberi penerangan umum berkaitan kampus serta pusat pengajian tersebut.

DSC 0485

DSC 0425

Salah seorang murid yang menyertai lawatan tersebut, Najihah Hairany berkata lawatan ini membuka mata beliau akan persekitaran sebenar sebuah Institusi Pengajian Tinggi.

“Malah, kunjungan ke makmal dan taklimat yang disampaikan oleh kakitangan adalah jelas dengan ilmu yang baharu untuk kami sebagai pelajar,” kata murid tahun enam ini lagi.

Sebagai penutup kepada lawatan, rombongan pelajar dan guru SRNH ini dibawa melawat ke kawasan Hangar PPKAero untuk memberi peluang kepada mereka untuk melihat dengan lebih dekat akan kejuruteraan Aeroangkasa itu sendiri.

Teks: Siti Faizah Abd Halim / Foto: Muhammad Taufik Abdul Rahman