SIMBOLIK DAN KEGEMBIRAAN ANAK-ANAK KITA MELALUI PEMBERIAN DUIT RAYA– PENGARAH KAMPUS
NIBONG TEBAL, 9 Mei 2021 – Pengarah Kampus Kejuruteraan, Universiti Sains Malaysia (USM), Profesor Dr. Nor Azazi Zakaria meluangkan masa memberi duit raya kepada anak-anak staf dalam satu majlis berbuka puasa yang dihadiri beliau di Pusat Islam hari ini.
“Pemberian duit raya bukanlah satu budaya baharu dikalangan masyarakat kita dan tidak dinafikan ianya merupakan salah satu daripada simbolik serta asas kepada sambutan hari raya kita selama ini,” kata Azazi.
“Dengan memberi duit raya kita bukan sahaja menerapkan konsep sedekah di dalam islam malah kita secara tidak langsung dapat menggembirakan anak-anak kecil kita yang menerimanya,” tambah beliau.
Selain daripada itu, Azazi turut menyatakan perasaan gembira beliau dalam pemberian duit raya kepada anak-anak staf yang hadir ke majlis ini kerana ianya juga dapat dijadikan suatu galakan untuk mereka terus berpuasa pada bulan Ramadhan yang seterusnya.
“Buat mereka yang baru berlatih untuk menunaikan ibadah ini khususnya, duit raya ini dapat kita simpulkan sebagai ganjaran di atas kejayaan mereka berpuasa sepanjang bulan Ramadhan ini,” kata beliau yang merupakan Datuk kepada tiga orang cucu yang masih kanak-kanak ini.
Teks: Siti Faizah Abd Halim / Foto: Jawatankuasa Aktiviti Ramadhan Pusat Islam Kampus Kejuruteraan USM