Skip to main content

TIMBALAN MENTERI PENGAJIAN TINGGI LANCAR WAKAF KARPET PUSAT ISLAM

DSC 3948

NIBONG TEBAL, 30 April – Timbalan Menteri Pengajian Tinggi Malaysia, Dato' Mansor bin Othman telah melancarkan Wakaf Karpet Pusat Islam Kampus Kejuruteraan, Universiti Sains Malaysia (USM) sempena Majlis Berbuka Puasa Peringkat Kampus Kejuruteraan di sini baru-baru ini.

Menurut Mansor, projek ini merupakan usaha Pusat Islam Kampus Kejuruteraan melalui Jawatankuasa Projek Wakaf Karpet dalam mendapatkan dana bagi menggantikan karpet Dewan Solat Pusat Islam yang sudah berusia tujuh tahun dan telah uzur.

Turut dinyatakan di dalam ucapan beliau bahawa anggaran kos keseluruhan dalam memastikan pemasangan karpet ini terlaksana adalah berjumlah RM300 ribu yang melibatkan dewan solat seluas 1060 meter persegi.

DSC 3928

DSC 3909

Menurut beliau lagi, kaedah ini digunakan selepas mengambil kira faktor janaan kewangannya ke arah dana terbesar dan seterusnya membawa manfaat yang kelak boleh dikembangkan untuk tempoh yang lama.

Bagi Naib Cancelor USM, Profesor Dr. Faisal Rafiq Mahamd Adikan pula, beliau sangat berbesar hati di atas sumbangan dan keprihatinan yang ditunjukkan oleh Timbalan Menteri kepada USM.

Di majlis yang sama, Rafiq turut menyampaikan ucapan tahniah beliau kepada seluruh warga kampus yang telah bersama-sama USM yang kini menduduki tempat ke-39 dalam penarafan/ranking impak global Times Higher Education (THE) 2021.

DSC 3905

DSC 3970

Bagi Pengarah Kampus Kejuruteraan USM, Profesor Dr. Nor Azazi Zakaria pula, beliau bersyukur di atas kejayaan penganjuran Program Berbuka Puasa anjuran Pejabat Pengarah dan Pusat Islam ini.

“Warga Kampus Kejuruteraan dari dulu lagi sering menunjukkan kesungguhan yang menyumbang kepada kejayaan penganjuran acara-acara seperti hari ini.

“Ianya lebih membanggakan apabila penganjuran ini berjaya dilaksanakan dengan penuh kepatuhan kepada SOP memandangkan kita terikat dengan amalan serta norma baharu sejak pandemic Covid-19 melanda,” kata Azazi.

DSC 3978

DSC 3984

“Berbicara mengenai semangat berkumpulan dan kerjasama antara staf mahupun jabatan, USM Kampus Kejuruteraan adalah antara yang terbaik bagi saya,” kata Azazi.

Turut hadir dalam majlis ini adalah Timbalan Naib Canselor Penyelidikan dan Inovasi, Profesor Dato' Ir. Dr. Abdul Rahman Mohamed FASc, Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pembangunan Pelajar dan Alumni, Profesor Dr. Aldrin Abdullah, Pegawai-pegawai Utama Universiti dan Pengarah Pusat Islam, Ustaz Mohammad Shukri Osman.

Teks: Siti Faizah Abd Halim / Foto: Muhammad Taufik Abdul Rahman