Skip to main content

BERFIKIRAN JAUH DEMI UNIVERSITI – PENGERUSI LGU

200279934 1184349118645498 6402670458722894807 n

NIBONG TEBAL, 2 Julai 2021 - Pengerusi Lembaga Gabenor Universiti Sains Malaysia (USM), Dato’ Dr. Awang Adek Hussin menyeru agar semua warganya untuk sentiasa berfikiran jauh dalam menunjukkan sokongan kepada universiti dalam situasi pandemik ini.

Perkara tersebut dinyatakan dalam ucapan beliau kepada lebih 100 warga kampus yang hadir di Majlis Bacaan Yaasin, Tahlil, Doa Munajat dan Solat Hajat secara atas talian anjuran Pusat Islam Kampus Kejuruteraan serta Kelab Kebajikan dan Sukan Staf Kejuruteraan (KKSSK) baru-baru ini.

“Malah, program yang memfokuskan kepada bidang selain daripada tugas hakiki seperti ini juga perlu dalam menambahbaik hubungan sesama kita.

“Perkara ini penting untuk mewujudkan kesepakatan kita secara bersama untuk berdepan dengan cabaran pada hari ini yang bukan sahaja memberi kesan kepada kakitangan secara keseluruhan tetapi juga pengurusan tertinggi universiti,” tambah beliau.

Di dalam ucapan beliau, Awang Adek turut berharap agar warga kampus menghargai sokongan serta perhatian yang telah diberikan oleh Menteri dan Timbalan-timbalan Menteri kepada USM melalui usaha untuk sentiasa menjadi universiti yang terbaik di kalangan yang terbaik.

Majlis yang diadakan melalui aplikasi dalam talian Webex ini diadakan bukan sahaja bertujuan untuk mencegah Covid-19 malah, untuk kelancaran dan kemaskini semasa Projek Gerbang Kejuruteraan yang sedang dijalankan pada waktu ini.

Bagi Naib Canselornya, Profesor Dr. Faisal Rafiq Mahamd Adikan, tujuan utama di sebalik pembinaan gerbang ini selain daripada untuk menyebarkan ilmu, adalah untuk memudahkan serta memberikan kemudahan yang lebih baik kepada pelajar-pelajar kita nanti.

“Saya berharap agar usaha pembinaan gerbang ini bersama-sama dengan majlis ilmu seperti ini akan dipenuhi dengan keberkatan dan dijadikan sebagai satu budaya kepada kita semua di universiti ini,” kata Rafiq.

Mengulas kepada pembinaan Gerbang Kejuruteraan pula, Pengarah Kampus Kejuruteraan USM yang juga merupakan pelopor di sebalik pembinaannya berkata, projek ini diilhamkan semasa salah satu daripada mesyuarat tahunan KKSSK itu sendiri.

“Memandangkan status kewangan kita pada masa itu kurang memberangsangkan, maka terlahirkah idea serta usaha untuk membantu semua pihak melalui satu projek yang pada asalnya diberi nama Engineering Arch,” kata Azazi.

“Beberapa fasa dalam pembinaannya turut melibatkan ramai pihak dan saya berterima kasih di atas sambutan baik yang telah diberikan oleh USM terhadap projek ini, malah, kita juga akan mula mengadakan mesyuarat teknikal dan kewangan untuk projek ini dalam waktu yang terdekat,” tambah beliau lagi.

Azazi turut berharap agar projek ini dapat meningkatkan prasarana Kampus Kejuruteraan di samping menjadi tarikan dalam menempatkan lebih ramai pelajar atarabangsa di sini berbanding pada ketika ini di mana ramai di kalangan mereka menetap di sekitar Kampus Induk walaupun sedang mengikuti pengajian dalam bidang kejuruteraan.

Teks: Siti Faizah binti Abd Halim