Skip to main content

PICK: 232 SUKARELAWAN PELAJAR KEJURUTERAAN SUMBANG TENAGA DI PPV USM

WhatsApp Image 2021 07 12 at 3.42.55 PM

NIBONG TEBAL, 12 Julai 2021 – Seramai 232 orang pelajar Kampus Kejuruteraan, Universiti Sains Malaysia (USM) turun padang menjadi sukarelawan di dua Pusat Pemberian Vaksin USM - PPV@USM dan PPV Sains@Bertam - di bawah Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK).

Menurut seorang sukarelawan pelajar yang juga Pengerusi Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) Kampus Kejuruteraan, Kamal Safwan Jamaludin (tahun empat, Pusat Pengajian Kejuruteraan Awam), mereka perlu bersedia seawal 6.30 pagi bagi memastikan mereka tiba di PPV sebelum 8.00 pagi dan memulakan tugas tepat 9.00 pagi.

“Kami di sini membantu dalam tugas-tugas bukan klinikal di stesen-stesen yang berbeza dari stesen saringan suhu, mengimbas kod MySejahtera, pendaftaran sehinggalah ke stesen terakhir iaitu stesen pemerhatian.

“Kebiasaannya, sukarelawan akan selesai menjalankan tugas masing-masing sekitar 6.00 petang dengan mengemas PPV serta bilik gerakan dan seterusnya bergerak balik ke Kampus Kejuruteraan,” katanya.

Katanya lagi, PPV menjadi medium kepada siswa dan siswi untuk berbakti kepada masyarakat dan juga dapat membantu meredakan tekanan dalam kalangan pelajar ekoran daripada Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang mengehadkan pergerakan pelajar bagi mengekang penularan wabak COVID-19.

WhatsApp Image 2021 07 12 at 3.42.53 PM

Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pembangunan Pelajar dan Alumni, Profesor Dr. Aldrin Abdullah baru-baru ini turut turun padang meninjau operasi PPV Sains@Bertam sambil menyantuni dan memberi kata-kata semangat kepada sukarelawan pelajar Kampus Kejuruteraan yang bertugas di sana.

Beliau telah dibawa melawat kesemua stesen dan fasiliti yang ada di PPV Sains@Bertam, yang memberi perkhidmatan pemberian vaksin khususnya kepada penduduk Kepala Batas dan Seberang Perai Utara sejak ia mula beroperasi 18 Jun 2021 yang lalu.

Sementara itu, Pengarah Kampus Kejuruteraan, Profesor Dr. Nor Azazi Zakaria ketika mengulas akan penglibatan pelajar dalam aktiviti sukarelawan ini berharap agar mereka dapat mengembangkan kemahiran sosial masing-masing sambil belajar berinteraksi melalui persekitaran yang lebih terbuka.

“Dengan menjadi sukarelawan, pelajar akan memperuntukkan lebih banyak masa untuk berinteraksi dan bekerjasama dengan orang lain selain daripada USM dan perkara ini seharusnya membantu mereka untuk membina hubungan dan kemahiran komunikasi yang lebih baik dalam diri masing-masing,” tambah Azazi.

Seramai 25 orang sukarelawan pelajar dihantar untuk bertugas di PPV setiap hari kecuali Ahad dan secara keseluruhannya 101 pelajar telah terlibat pada fasa pertama iaitu pada minggu pembelajaran manakala 131 yang lain terlibat pada fasa kedua iaitu pada minggu peperiksaan.

PPV@USM dan PPV Sains@Bertam merupakan PPV Institut Pengajian Tinggi (IPT) yang ditubuhkan di bawah inisiatif Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) dengan persetujuan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) dan juga Jawatankuasa Petugas Khas Imunisasi COVID-19 (CITF) pada 1 Jun 2021 dengan hasrat untuk membantu PICK.

Teks: Siti Faizah Abd Halim/Foto: Kamal Safwan Jamaludin