BHEPA EDAR 1000 PEK MAKANAN PELAJAR SEMPENA HARI RAYA AIDILADHA
NIBONG TEBAL, 20 Julai 2021 – Bahagian Hal Ehwal Pembangunan Pelajar dan Alumni (BHEPA) Kampus Kejuruteraan, Universiti Sains Malaysia (USM) mengedarkan 1000 pek makanan kepada pelajar yang masih berada di dalam kampus sempena sambutan Hari Raya Aidiladha hari ini.
Menurut Penolong Pendaftar Kanan BHEPA, Samsuri Musa, pemberian pek makanan ini adalah di atas inisiatif serta saranan Pengarah Kampus yang mahu pelajar-pelajar di kampus disantuni semasa hari perayaan ini.
“Semoga pemberian makanan ini akan menggembirakan pelajar-pelajar kita memandangkan mereka sedang bertungkus lumus dalam menghadapi peperiksaan akhir pada ketika ini.
“Kami di BHEPA juga berharap agar mereka dapat mengekalkan fokus dan kecemerlangan masing-masing pada tahap yang maksimum walaupun berdepan dengan cabaran sesi pembelajaran secara atas talian sejak pandemik Covid-19 melanda dunia sejak tahun 2019 ,” kata Samsuri.
Merupakan sebahagian daripada program #USMPRIHATIN Kampus Kejuruteraan, edaran makanan ini dilaksanakan dengan kerjasama antara Pejabat Pengarah, BHEPA dan Desasiswa Jaya Lembaran Utama, Kampus Kejuruteraan.
Bagi Pengarah Kampus, Profesor Dr. Nor Azazi Zakaria pula, idea ini tercetus setelah menilai situasi pelajar yang sedang bertungkus lumus menduduki peperiksaan akhir sambil berhadapan dengan cabaran akan situasi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) semasa.
“Pemberian makanan ini diharap dapat menyampaikan tanda ingatan, kasih dan peduli kami di pihak pengurusan kepada meraka apatah lagi dalam hari perayaan seperti hari ini ini,” kata Azazi.
“Malah, saya berharap agar usaha murni ini dapat menjadi contoh kepada pihak lain yang perlu diteruskan dari semasa ke semasa dan bukan hanya tertumpu pada tempoh PKP ini sahaja memandangkan kebajikan pelajar adalah tanggungjawab kita sentiasa,” tambah beliau.
Selain BHEPA, sesi penyerahan pek makanan pagi, tengah hari dan malam ini turut melibatkan 20 orang urus setia pelajar yang terdiri daripada ahli jawatankuasa Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) dan ahli jawatankuasa Desasiswa Jaya Lembaran Utama Kampus kejuruteraan.
Teks: Siti Faizah Abd Halim / Foto: Sumbangan BHEPA Kampus Kejuruteraan USM